Pelajar pendidikan khas tunjuk bakat berniaga

BINTANGOR: Seramai 13 pelajar menyerlahkan potensi dan kreativiti diri masing-masing dalam membantu menjayakan program Jualan Hasil Kraftangan dan Produk Pelajar Pendidikan Khas di sini, baru- baru ini.

Lebih menggembirakan apabila program yang bermula pada 7.00 pagi itu mendapat sambutan amat menggalakkan daripada penduduk setempat.

Penyelaras program, Nur Azila Yusuf berkata, kejayaan program kali ketiga itu turut dibantu lapan guru dan dua pembantu pengurusan pelajar.

“Program ini diadakan di bawah kerjasama Unit Pendidikan Khas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Sarikei dan Unit Pendidikan Khas SMK Bandar Bintangor. Ia melibatkan penyertaan 10 pelajar SMK Bandar Bintangor dan tiga SMK Bandar Sarikei.

“Kita gembira apabila jualan terutama kategori makanan mendapat sambutan cukup memberangsangkan. Kita tutup kedai kira-kira 9.45 pagi, ” katanya kepada wartawan Suara Sarawak.

Program mendapat sambutan cukup menggalakkan daripada orang ramai

Nur Azila berkata, program bertujuan memberi peluang kepada pelajar pendidikan khas berinteraksi dengan masyarakat di samping membantu menambah dana kewangan untuk menaiktaraf prasarana kelas.

Aktiviti itu katanya, bukan sahaja mengetengahkan kreativiti pelajar tetapi juga memberi peluang kepada mereka merasai sendiri pengalaman berniaga.

“Program ini mampu menyemai sikap berdikari dalam kalangan peserta selain mengenal penggunaan nilai mata wang yang betul.

“Secara keseluruhan, semua pelajar dan guru yang terlibat membuktikan komitmen tinggi bagi membantu kejayaan program ini.

“Justeru, saya juga ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada orang ramai yang memberi sokongan terhadap aktiviti kami tempoh hari,” jelasnya.

Antara produk yang dijual ialah kraftangan, produk makanan seperti kuih muih, kek, biskut dan lain-lain lagi.

Guru dan pelajar mengabadikan kenangan beramai-ramai sejurus selesai program.

Suara Sarawak