MUKAH: Pelibatan aktif pelajar Politeknik Mukah (PMU) dalam Program Green Heart CSR 4.0 berjaya memberi impak positif kepada penduduk Kampung Baru Ismail Igan melalui usaha pemeliharaan alam sekitar dan khidmat sosial.
Program anjuran PMU dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Baru Ismail itu menumpukan kepada aktiviti pembersihan kawasan kampung secara menyeluruh, sekali gus mewujudkan persekitaran yang lebih bersih dan kondusif untuk penduduk setempat.
Inisiatif tersebut melibatkan pelajar Diploma Pengajian Perniagaan.

Mereka bukan sahaja menjalankan kerja pembersihan, malah didedahkan kepada realiti kehidupan komuniti luar bandar, sekali gus memupuk nilai tanggungjawab sosial dan kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar.
Pengarah Program, Muhammad Syahrul Syaqir berkata program berkenaan menjadi platform penting dalam membentuk sahsiah pelajar secara holistik.
“Pelibatan secara langsung di lapangan membolehkan pelajar mengasah kemahiran kepimpinan, komunikasi dan kerja berpasukan.
“Pada masa sama, ia dapat meningkatkan empati mereka terhadap masyarakat serta alam sekitar,” katanya.
Tambahnya, pendekatan pembelajaran berasaskan komuniti seperti ini selari dengan hasrat institusi untuk melahirkan graduan yang seimbang dari segi akademik dan nilai kemanusiaan.
Sementara itu, Ketua Kampung Baru Ismail, Mohammad Jasa Teh menzahirkan penghargaan terhadap usaha yang dilaksanakan oleh pihak PMU.
“Kami amat berterima kasih atas komitmen pelajar dan pihak PMU.
“Program seperti ini bukan sahaja membantu menceriakan kampung, malah mengeratkan hubungan antara institusi pendidikan dan komuniti,” katanya.
Program Green Heart CSR 4.0 dilihat sebagai usaha berterusan dalam memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi pendidikan dan masyarakat setempat.
Justeru, ia juga dapat menyumbang kepada kesejahteraan komuniti melalui pendekatan pendidikan berimpak tinggi.



