KUCHING: Pelajar Sarawak yang menuntut di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara harus bermuhasabah dan bersyukur ke atas sokongan yang diberikan Kerajaan Sarawak, dengan memberikan sepenuh komitmen mengejar dan menguasai ilmu, kata ahli akademik Profesor Datuk Mohd Fadzil Abdul Rahman.
Katanya, ia lebih-lebih lagi dalam mengisi keperluan sumber tenaga manusia yang diperlukan bagi merealisasikan hasrat kerajaan negeri sebagai sebuah negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.
“Kelebihan yang dinikmati oleh anak-anak Sarawak yang bernasib baik ini tidak harus di sia-siakan kerana belum pernah ada mana-mana negeri dalam Malaysia yang beruntung seperti mereka.
“Tidak ada sebab lagi bagi pelajar-pelajar ini gagal memenuhi aspirasi kerajaan negeri melainkan mencipta kejayaan dalam bidang masing-masing dan memberikan khidmat bakti kepada Sarawak setelah berjaya nanti sebagai balasan pelaburan yang dilaburkan,” katanya yang dihubungi.
Beliau berkata demikian bagi mengulas pengumuman Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bahawa semua pelajar Sarawak yang mendaftar di IPT di seluruh negara akan menerima wang saku RM1,200 daripada Kerajaan Sarawak mulai tahun depan, tanpa mengira tahap pendapatan keluarga mereka.
Dalam ucapan penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam, beliau berkata pelajar terbabit mewakili kumpulan bakat masa depan negeri, dan tumpuan mereka harus kekal sepenuhnya pada pengajian tanpa kebimbangan kewangan yang menghalang mereka.
Justeru, Mohd Fadzil berkata pengumuman bantuan kewangan itu dilihat sebagai serampang dua mata dalam mendepani perancangan pembangunan negeri yang disusun atur.
Manakala, Profesor Madya Dr Lee Kuok Tiung menyifatkan pemberian itu merupakan satu langkah progresif yang mencerminkan keprihatinan pembangunan modal insan dan kesejahteraan pelajar.

Profesor Madya Dr Lee Kuok Tiung
“Setiap anak watan Sarawak berpeluang merasai pemberian Kerajaan Sarawak itu tanpa mengira latar belakang keluarga.
“Ini sekali gus menggalakkan dan memotivasi para pelajar untuk berusaha bersungguh-sungguh dalam akademik mereka,” katanya yang juga dihubungi.
Beliau menambah inisiatif itu juga selari dengan penekanan Kerajaan Sarawak terhadap pembangunan modal insan.


