KUCHING: Pelajar Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak (YSISS) akan turut diberi peluang untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi memastikan mereka tidak berdepan kekangan melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) serta memasuki perkhidmatan kerajaan.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, langkah itu diambil susulan kebimbangan berhubung syarat kemasukan ke universiti tempatan bagi pelajar yang mengikuti kurikulum antarabangsa.
“Kita mewajibkan mereka mengambil subjek Sejarah dan Bahasa Malaysia.
“Kita tahu bahawa di Malaysia, jika tiada kredit dalam Bahasa Malaysia, mereka tidak layak untuk bekerja dalam sektor kerajaan.
“Jadi, kita mahu memastikan mereka dilengkapi dengan syarat tersebut,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Kuching, hari ini.
Dalam masa yang sama, Sagah berkata Kerajaan Sarawak berharap pelajar sekolah antarabangsa YSISS dapat melanjutkan pengajian ke luar negara terutama dalam bidang teknologi dan ilmu baharu.
Mengulas kebimbangan kohort pertama pelajar YSISS yang mungkin berdepan pertindihan jadual antara peperiksaan sukatan pelajaran Sijil Am Antarabangsa Pendidikan Menengah (IGCSE) dan SPM, beliau berkata perkara itu sedang diperhalusi pihak berkaitan.
“Kerajaan Sarawak sedang mengusahakannya,” ujarnya.
Terdahulu, tular di media sosial berkaitan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa berhubung hala tuju graduan YSISS yang tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

