ARTIKEL

Zulkiflee Sebli.

Pelaksanaan PdPR tidak menambah tekanan untuk guru

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) susulan keadaan jerebu yang semakin membimbangkan di beberapa kawasan di Sarawak dilihat sebagai langkah wajar bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid serta warga sekolah terus menjadi keutamaan.

Presiden Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS), Zulkiflee Sebli berkata, isu jerebu tidak seharusnya dilihat hanya dari aspek kehadiran murid ke sekolah, sebaliknya kesannya terhadap keseluruhan komuniti pendidikan termasuk guru, anggota kumpulan pelaksana dan murid perlu diberi perhatian.

Katanya, pencegahan lebih baik daripada mengambil risiko, terutama apabila kualiti udara berada pada tahap tidak sihat dan sekolah membabitkan jumlah murid serta guru yang ramai dalam tempoh yang panjang.

“Sekiranya keadaan jerebu mencapai tahap yang boleh menjejaskan kesihatan, tindakan menutup sekolah dan melaksanakan PdPR perlu dibuat berdasarkan nasihat serta data kualiti udara semasa,” katanya kepada Suara Sarawak hari ini ketika diminta mengulas mengenai pelaksanaan PdPR akibat jerebu di Sarawak.

Bagaimanapun, Zulkiflee berkata, pelaksanaan PdPR tidak seharusnya menambahkan tekanan kepada guru, sebaliknya mereka perlu diberikan ruang dan fleksibiliti mengikut kemampuan, kesesuaian murid serta keadaan setempat.

Menurutnya, antara cabaran utama PdPR ialah akses kepada peranti dan internet, khususnya bagi murid daripada keluarga berpendapatan rendah dan yang tinggal di kawasan tertentu.

Katanya lagi, pengalaman PdPR ketika pandemik COVID-19 menunjukkan kesukaran guru berinteraksi dengan murid tanpa bersemuka, justeru sokongan ibu bapa amat penting bagi memastikan pembelajaran dapat diteruskan dengan berkesan.

Tambahnya, tahap penglibatan murid juga menjadi cabaran kerana PdPR memerlukan disiplin dan pemantauan berbeza berbanding pembelajaran secara bersemuka, menyebabkan ada murid mungkin sukar mengikuti pembelajaran dalam talian secara konsisten.

Pada masa sama, beliau memberitahu guru perlu memastikan objektif pembelajaran tercapai tanpa membebankan murid dengan terlalu banyak tugasan kerana dalam situasi luar biasa seperti jerebu, kualiti pembelajaran perlu diutamakan berbanding kuantiti tugasan.

Sehubungan itu, Zulkiflee mengingatkan supaya kesihatan guru tidak dipinggirkan kerana guru dan staf yang masih berada di sekolah turut terdedah kepada risiko udara tercemar, selain mereka yang mempunyai faktor risiko kesihatan tertentu.

“KGBS menasihatkan guru supaya lebih peka terhadap kesihatan diri. Kalau tidak sihat, maklumkan kepada PGB untuk PdPR di rumah,” ujarnya.

Tegasnya, pendekatan itu penting bagi memastikan langkah menangani jerebu bukan sahaja melindungi murid, malah menjamin keselamatan dan kesihatan keseluruhan warga sekolah.

BERITA LAIN

Projek ART Kuching Jadi Rujukan

KUCHING: Projek Transit Aliran Autonomi (ART) Kuching menjadi antara projek rujukan utama luar negara bagi China Railway Rolling Stock Corporation (CRRC) dalam usaha memperluas penggunaan

BERITA TERBARU

Projek ART Kuching Jadi Rujukan

KUCHING: Projek Transit Aliran Autonomi (ART) Kuching menjadi antara projek rujukan utama luar negara bagi China Railway Rolling Stock Corporation (CRRC) dalam usaha memperluas penggunaan