KUCHING: Usaha memperkukuh ekonomi kitaran dan memperkasa pengurusan sisa untuk kelestarian jangka panjang Sarawak mencapai titik penting apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pengurusan Sumber Lestari dan Sisa 2025, semalam.
RUU tersebut diluluskan selepas dibahaskan oleh seramai 24 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), sekali gus mencerminkan sokongan penuh terhadap hala tuju baharu pengurusan sumber dan sisa yang lebih terancang dan moden.
Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, langkah itu seiring dengan visi Kerajaan Sarawak untuk mengoptimumkan dan mencipta nilai ekonomik daripada sisa.
“Pewartaan RUU ini memberikan kuasa yang jelas kepada Sarawak dalam mentadbir dan mengurus sumber dan sisa secara lestari serta efektif, sambil mengukuhkan kerangka perundangan jangka panjang bagi tadbir urus alam sekitar yang lebih bertanggungjawab.
“Pelaksanaan undang-undang ini merupakan langkah penting dalam memperkukuh kelestarian alam sekitar, memperluas ekonomi kitaran serta menyokong agenda peralihan tenaga negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam bacaan ketiga pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pengurusan Sumber Lestari dan Sisa 2025 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19 Sarawak, di sini hari ini.
Tambahnya, satu kerangka undang-undang komprehensif serta pihak berkuasa khusus untuk mengawal selia, menyelaras dan mempromosikan pengurusan sumber lestari dan sisa di seluruh negeri turut bakal diwujudkan.
“Walaupun sumber kita melimpah-ruah, tahap pemanfaatannya masih rendah kerana kekangan peraturan dan logistik. RUU ini bertujuan menutup jurang tersebut.
“Malah pihak berkuasa itu kelak akan dipertanggungjawabkan memastikan penggunaan dan pengurusan sumber dilakukan secara cekap, menyokong pelaburan hijau, menyelaras pelaksanaan dasar serta memastikan kepatuhan peraturan.
“Mereka juga mempunyai kuasa untuk menyediakan insentif bagi menggalakkan pelibatan lebih besar daripada sektor swasta, di samping memperuntukkan kesalahan dan hukuman khusus demi memastikan pengurusan sumber lestari dan sisa dilaksanakan secara bertanggungjawab,” tegasnya.
Kelulusan RUU tersebut turut memperkukuh agenda lebih luas di bawah Pelan Sarawak Lestari, Dasar Peralihan Tenaga Sarawak serta Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS 2030), sekali gus memposisikan Sarawak sebagai peneraju serantau dalam pengurusan sumber lestari, sisa dan pembangunan tenaga boleh diperbaharui.



