ARTIKEL

Dr Ammar Redza Ahmad Rizal

Pelantikan Ibrahim Baki jadi Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) langkah tepat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pemilihan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Datuk Ibrahim Baki, sebagai Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) merupakan satu langkah yang tepat, kata penganalisis politik, Dr Ammar Redza Ahmad Rizal.

Menurutnya, pemilihan ini adalah wajar kerana Ibrahim memiliki pengalaman luas dalam industri tenaga dan undang-undang yang secara langsung dapat menyokong keperluan strategik Sarawak dalam mengembangkan PETROS.

“Latar belakang undang-undang beliau akan mengukuhkan lagi keupayaan untuk berunding secara strategik dengan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS).

“Ini juga menjadi faktor penting dalam mencapai perancangan yang mampan dan menyeluruh untuk sektor tenaga di Sarawak,” katanya ketika dihubungi oleh Suara Sarawak hari ini.

Dr Ammar menambah, kehadiran Ibrahim dalam barisan kabinet pastinya akan mengukuhkan lagi struktur kepimpinan Kerajaan Sarawak.

“Ia sekali gus memberikan keyakinan bahawa dasar-dasar dan inisiatif pembangunan akan dilaksanakan dengan penuh integriti serta profesionalisme untuk kemajuan negeri ini,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa Ibrahim memegang tanggungjawab besar dengan portfolio tersebut dan perlu bersedia menghadapi cabaran, khususnya berhubung rundingan antara PETROS dan PETRONAS.

“Apabila Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, memilih beliau untuk memegang portfolio ini, beliau perlu bersedia dengan cabaran yang akan datang.

“Oleh itu, beliau harus bertindak dengan berhati-hati dalam percaturan ini agar sebarang keputusan yang diambil kelak tidak mengundang kontroversi atau merugikan kepentingan Sarawak,” jelasnya.

Untuk rekod, Ibrahim telah mengangkat sumpah jawatan tersebut di hadapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dan disaksikan oleh Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Astana Negeri Sarawak hari ini.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU