KOTA SAMARAHAN: Pelari dari Kenya, Dennis Isika mencipta sensasi memecah rekod yang dipegang Andy Yeo tahun lalu pada Maraton HSL Samarahan 2026.
Dennis yang bertanding untuk kategori lelaki veteran separuh maraton menamatkan saingan dengan catatan masa satu jam 16 minit dan 28 saat. Sementara itu, kategori wanita veteran dimenangi oleh Abigael Jerop, juga dari Kenya dengan catatan masa satu jam 27 minit dan 26 saat.
Bagi kategori lelaki terbuka separuh maraton dimenangi oleh Syahrullah Safri yang mencatat masa satu jam 16 minit dan 31 saat. Kategori wanita pula dimenangi oleh Jia Qi Chew dengan catatan masa satu jam 33 minit dan 32 saat.
Atlet tajaan HSL termasuk Sally Yap serta anggota Team Haolian turut mempamerkan prestasi cemerlang apabila meraih 13 kedudukan dalam kelompok 10 terbaik dalam pelbagai kategori.
Sementara itu, anugerah kostum terbaik dimenangi oleh Joyce Nyupeh menerusi kostum arnab Halloween, selain Adrian Harun dan Voon Kim Choon.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah yang hadir menyampaikan hadiah berkata, maraton tidak dianjurkan secara penuh ekoran kerja-kerja pembinaan jalan di kawasan terbabit.
Bagaimanapun, acara separuh maraton yang dianjurkan masih berlangsung dengan baik dan menerima penyertaan memberangsangkan daripada pelbagai negara serta negeri.
“Saya dapat lihat ramai pemenang hari ini bukan dari Kuching atau Sarawak sahaja, tetapi turut melibatkan peserta dari Semenanjung Malaysia, Afrika dan pelbagai bahagian lain di Sarawak. Ini merupakan acara yang sangat sihat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penyampaian hadiah Maraton HSL Samarahan di ibu pejabat Hock Seng Lee Berhad di Samarahan, hari ini.

Abdul Karim turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan HSL, penganjur bersama serta para penaja atas komitmen meneruskan acara tersebut.
Ketika ditemu bual, pemenang kategori wanita veteran Abigael berkata, persediaan selama tiga bulan sebelum menyertai acara banyak membantunya mencapai prestasi yang baik.
“Atlet Malaysia kini semakin kuat dan berdaya saing. Saya rasa pada tahun depan akan ada lebih banyak persaingan,” katanya.
Beliau turut memuji laluan perlumbaan yang disifatkan sesuai kerana berbentuk landai, berbeza dengan keadaan di negaranya yang mempunyai banyak kawasan berbukit.
Dalam pada itu, pemenang kategori lelaki veteran, Dennis Isika turut menyifatkan program tersebut tersusun dan profesional, khususnya dari segi pengurusan laluan, petugas serta stesen air.
Katanya, kehadiran kenderaan pendahulu juga membantu memastikan perlumbaan berjalan lancar dari awal hingga tamat.
Dennis berkata beliau pernah menyertai acara sama di Samarahan tahun lalu dalam kategori 10 kilometer dan kembali tahun ini dengan sasaran lebih besar.
Beliau turut menyatakan hasrat untuk kembali ke Kuching bagi menyertai Kuching Marathon akan datang dalam kategori maraton penuh, selain meletakkan sasaran untuk muncul juara.


