KUCHING: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching telah menahan dua lelaki tempatan dalam serbuan berasingan dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM37,250 di sekitar Kuching, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, dalam serbuan pertama sekitar jam 9.45 malam Isnin itu, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sarawak telah menahan seorang lelaki berusia 39 tahun.

‘’Dalam serbuan tersebut, polis merampas sebanyak 830.60 gram dadah disyaki pil Erimin 5 di dalam sebuah kereta jenis Toyota Vios di Jalan Rock dan sebuah rumah di Batu Kawa di sini.
‘’Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM35,300,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Siasatan awal mendapati suspek negatif daripada sebarang jenis dadah selain tidak mempunyai rekod lampau dadah dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Manakala dalam serbuan kedua di Taman Sukma 6 Februari lepas sekitar jam 3 petang, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Kuching telah menahan seorang lagi lelaki tempatan berusia 43 tahun di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
‘’Polis merampas dadah disyaki syabu seberat 5.93g dan 19.68g dadah disyaki pil Erimin 5 dengan anggaran nilai RM1,950.
“Suspek didapati mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kes dadah selain positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya sambil menambah bahawa suspek kini direman selama dua hari sehingga esok (9 Feb).





