ARTIKEL

HARGAI: Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menyampaikan sijil perhargaan kepada salah seorang penerima. FOTO MOHD ALIFF NONI

15 syarikat berminat labur di taman perabot Kuching

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Walaupun masih pada peringkat perancangan, projek pembangunan taman perabot di Kuching menarik minat 15 syarikat untuk melabur, sekali gus memperlihatkan potensi pertumbuhan sektor pembuatan perabot Sarawak.

Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, projek yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) itu antara usaha memperkukuh industri hiliran perkayuan negeri melalui penghasilan produk bernilai tinggi.

KENANGAN: Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan bersama barisan penerima anugerah dan warga PUSAKA merakamkan gambar kenangan pada Majlis Penghargaan Pesara dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025. Foto: MOHD ALIFF NONI

Menurutnya, sebanyak 15 syarikat menyatakan minat untuk melabur dalam projek pembangunan taman industri perabot berkenaan, walaupun pelaksanaannya masih pada peringkat perancangan.

“Walaupun projek itu belum dilaksanakan dan masih pada peringkat perancangan, pihak Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) telah menerima minat daripada 15 syarikat yang berhasrat untuk melabur dalam pembangunan industri perabot berkenaan.

“Perkembangan ini menunjukkan potensi sektor pembuatan perabot di Sarawak untuk terus berkembang,” katanya ketika berucap pada Majlis Penghargaan Pesara dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 PUSAKA, malam tadi.

Awang Tengah berkata, pembangunan industri perabot dan produk kayu kejuruteraan antara bidang yang perlu diberikan tumpuan bagi meningkatkan nilai tambah produk perkayuan tempatan.

Katanya, langkah itu penting untuk memperkukuh daya saing industri perkayuan Sarawak yang berdepan pelbagai cabaran, termasuk ketidaktentuan pasaran global, peningkatan kos operasi serta tuntutan pematuhan terhadap peraturan alam sekitar.

“Keadaan ini memerlukan industri kita untuk terus menyesuaikan diri, meningkatkan produktiviti dan beralih kepada pengeluaran produk hiliran yang mempunyai nilai komersial lebih tinggi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru pemain industri meningkatkan produktiviti melalui penggunaan teknologi bersesuaian bagi memastikan sektor perkayuan negeri terus berkembang dan mampu memenuhi keperluan pasaran.

Menurutnya, pendekatan tersebut sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menekankan penghasilan produk bernilai tinggi.

Katanya, selain pembangunan industri perabot, Sarawak turut memberikan perhatian kepada pembangunan ekonomi sekunder melalui pendekatan penukaran sisa kepada tenaga, tenaga boleh baharu dan biotenaga.

“PUSAKA bukan sekadar agensi yang bertanggungjawab mengawal selia industri perkayuan, malah memainkan peranan strategik dalam menentukan hala tuju pembangunan industri berasaskan sumber hutan di negeri ini.

“Peranan itu semakin penting bagi memperkukuh daya saing industri, meningkatkan nilai tambah produk tempatan serta memastikan sumber yang dimiliki mampu memberikan pulangan ekonomi lebih tinggi kepada Sarawak,” katanya.

Beliau turut berharap PUSAKA memperkukuh kerjasama dengan agensi kerajaan, institusi penyelidikan, persatuan industri, pelabur dan pengusaha tempatan bagi membangunkan industri perkayuan secara lebih menyeluruh.

Katanya, pembangunan industri berkenaan bukan sekadar bertujuan meningkatkan pengeluaran, sebaliknya perlu memberikan manfaat ekonomi yang lebih besar kepada negeri dan rakyat.

“Matlamat kita bukan sekadar meningkatkan pengeluaran. Sebaliknya, kita mahu memastikan industri perkayuan dan industri berasaskan buluh mampu menjana nilai ekonomi yang lebih tinggi.

“Kita juga mahu industri ini mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti serta membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat untuk melibatkan diri dalam kegiatan ekonomi,” katanya.

BERITA LAIN

LCDA bina 1,410 rumah mampu milik di Sarawak

SPAOH: Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) dipertanggungjawabkan membina 1,410 unit rumah mampu milik di seluruh Sarawak dengan kos keseluruhan RM524.9 juta. Pengurus Besarnya, Datuk

BERITA TERBARU

LCDA bina 1,410 rumah mampu milik di Sarawak

SPAOH: Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) dipertanggungjawabkan membina 1,410 unit rumah mampu milik di seluruh Sarawak dengan kos keseluruhan RM524.9 juta. Pengurus Besarnya, Datuk