SARIKEI: Kerajaan terus komited meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat menerusi pelaksanaan beberapa projek pembangunan baharu di daerah ini.
Antara projek tersebut ialah menaik taraf bumbung pagoda di Persatuan Buddha Orthodox, selain kerja-kerja baik pulih dapur dan mengecat bumbung Tokong Ming Sing Tong.

Turut dilaksanakan ialah kerja-kerja baik pulih bumbung dan stor belakang Tokong Song Zhi Niang Niang bagi memastikan rumah ibadat berkenaan berada dalam keadaan lebih selesa dan selamat.
Ahli Parlimen Sarikei merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Repok, Datuk Sri Huang Tiong Sii berkata, tiga lagi projek melibatkan kemudahan awam turut diberi perhatian dalam perancangan kali ini.

Menurut beliau, antara projek tersebut ialah menaik taraf Dewan Meranti yang merangkumi kerja-kerja menggantikan tingkap, saluran, mengecat dan pengalihan meter air.
“Kita juga menaik taraf Dewan Kiong Soon dengan memasang tingkap baharu, membina dinding bata, penurapan simen, pemasangan jubin serta mengecat,” katanya.
Beliau berkata, taman riadah juga tidak ketinggalan menerima manfaat apabila Taman Kiong Soon turut dinaik taraf dengan pembinaan laluan pejalan kaki, penambahbaikan sistem perparitan dan pemasangan lampu solar.
Sementara itu, lawatan ke tapak-tapak projek berkenaan dilakukan oleh Kapitan Ling Dien Yong yang mewakili Huang Tiong Sii.
Dalam lawatan tersebut, beliau turut menyaksikan upacara penyerahan tapak bagi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Tahun 2024 kepada kontraktor yang dilantik.


