KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh kualiti dan kebolehpercayaan bekalan elektrik khususnya di kawasan luar bandar melalui pelbagai projek naik taraf yang dilaksanakan di negeri ini.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, kementeriannya menerusi agensi pelaksana, Sarawak Energy, sedang giat memperkukuhkan prestasi sistem bekalan secara berperingkat melalui usaha penambahbaikan.
Katanya, ini termasuk dengan pembinaan talian pengagihan menggunakan teknologi talian voltan sederhana berpenebat Penutup Penebat Voltan Sederhana (MVCC); pembinaan talian atas Double Circuit Monopole; pembinaan pencawang 33/11kV baharu; dan menaik taraf alat ubah (transformer).
Setakat ini jelasnya, sepanjang 273 km projek talian pengagihan MVCC utama telah siap dilaksanakan di seluruh Sarawak berbanding 244 km seperti dimaklumkan pada persidangan DUN yang lepas.
“Ia melibatkan Petian ke Dalat (36 km); Kanowit ke Nanga Ngungun (34 km); Kanowit ke Julau (35 km); Murum Junction ke Belaga (59 km); Tatau ke Sangan (28 km); Similajau ke Sebauh (52 km); dan Bunut ke Long Lama (29 km),” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Tambahnya, Kerajaan Sarawak juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM150 juta untuk menaik taraf infrastruktur bekalan elektrik di Bahagian Samarahan — projek yang telah dilancarkan pada 23 November lalu oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Dewan Kampung Sampat Sebangan, Sebuyau.
“Projek tersebut juga akan meningkatkan prestasi bekalan elektrik bagi talian pengagihan di Samarahan, Asajaya, Sebuyau, Simunjan dan Gedong.
“Kerja-kerja telah bermula sebaik sahaja projek dilancarkan.
Skop utama bagi projek ini meliputi Talian MVCC dari Asajaya ke Jambatan Batang Sadong (anggaran 22.5 km) dijangka siap suku pertama 2028; kabel merentasi Sungai Batang Sadong (anggaran 1.8 km) dijangka siap suku keempat 2028; talian MVCC dari Jambatan Batang Sadong ke Sebuyau (anggaran 44.3 km) dijangka siap suku keempat 2028; talian MVCC dari Jambatan Batang Sadong ke Simunjan (anggaran 26.4 km) dijangka siap suku ketiga 2028; dan talian MVCC dari Jambatan Batang Sadong ke Gedong (anggaran 39.2 km) dijangka siap suku keempat 2028,” ujarnya.
Selain daripada projek naik taraf di Samarahan, beliau memaklumkan Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan sebanyak RM425 juta untuk menaik taraf bekalan elektrik di Lundu, Lubok Antu, Bahagian Betong, Sungai Asap dan Lawas di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Selain peruntukan daripada Kerajaan Sarawak yang cukup besar, Sarawak Energy juga telah membelanjakan sebanyak RM10.2 bilion dari 2020 sehingga 2025.
“Ia untuk pembinaan pencawang elektrik, talian pengagihan, penghantaran serta peningkatan kapasiti dan penambahbaikan sistem bekalan elektrik sedia ada,” tegasnya.


