Pelihara kuntau supaya tidak pupus

KUCHING: Kementerian Belia dan Sukan komited mempromosikan seni mempertahankan diri kuntau dalam kalangan Dayak.

Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan berkata, setakat ini bukan sahaja kaum Dayak yang menyertai kuntau terbuka.

“Ia sama seperti seni silat, judo dan sebagainya. Cuma berbeza latar belakang tetapi masih boleh dipelajari oleh pelbagai bangsa seperti Melanau, Melayu seperti berada dalam satu payung.

“Sekarang ia perlu didaftarkan terlebih dahulu.

“Kita akan kembangkan seni mempertahankan diri kuntau kepada generasi muda supaya ia tidak pupus,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Suara Sarawak di selepas menerima kunjungan hormat Persatuan Seni Mempertahankan Diri Dayak Sarawak (SDMAA) di Bangunan Baitulmakmur di sini, semalam.

Tambahnya, seni kuntau Dayak sudah wujud lebih 100 tahun dan perlu diketengahkan sebagai perkara yang membanggakan.

Menurutnya, SDMAA sudah menghantar wakil menyertai pertandingan di Korea dan Kuntau Dayak dikenali negara lain.

“Kuntau Dayak ini milik kita dan perlu melatih orang untuk memperkenalkannya kepada masyarakat.

“Kita akan membawa mereka menyertai pameran jerayawara atau karnival,” jelasnya.

Beliau menyatakan, ia sama seperti mempromosikan budaya Iban, Melanau dan banyak lagi.

“Mungkin suatu hari nanti Sarawak boleh menjadi tuan rumah World Martial Arts Union (WoMao) sama seperti diadakan di Singapura.

“Ia boleh mempromosikan Sarawak dalam aspek pelancongan,” ujarnya.

Beliau menyatakan, ia adalah rancangan jangka masa panjang.

“Tahniah saya ucapkan kepada wakil kuntau Dayak. Saya bangga dengan mereka,” tambahnya lagi.

SDMAA menyertai Festival Seni Mempertahankan Diri Dunia 2019 Chunju ke-19 di Korea Selatan pada 26 Ogos hingga 6 September lalu.

Mereka berjaya membawa pulang dua pingat emas, satu pingat perak dan tiga pingat gangsa.