SARIKEI: Peluang belia luar bandar untuk membina kerjaya dalam industri pembinaan terus diperkasa, melalui pelbagai program latihan dan jangkauan yang dilaksanakan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia bersama Akademi Binaan Malaysia (ABM) Sarawak.
Pengerusi CIDB Malaysia, Dato Yusuf Abd Wahab berkata, kursus asas pembinaan dan sesi libat urus di kawasan pedalaman diadakan secara berkala bagi memastikan masyarakat luar bandar mendapat akses yang sama rata terhadap latihan kemahiran, terutama mereka yang jauh daripada pusat latihan ABM.
Menurut beliau, Sarawak turut mempunyai beberapa pejabat negeri dan cawangan bagi memudahkan urusan pembangunan industri pembinaan dilaksanakan secara lebih teratur dan berkesan.
“Kita mahu pastikan penduduk luar bandar mendapat maklumat dan peluang. Sebab itu kita turun ke kampung-kampung dan daerah pedalaman untuk memperkenalkan kursus yang ditawarkan.
“Di laman sesawang CIDB dan ABM juga banyak maklumat disediakan. Saya harap mereka yang berminat atau masih mencari pekerjaan rajin melayarinya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program CIDB Malaysia dan ABM bersama komuniti di Kampung Selalang hari ini, yang turut memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran belia serta penduduk tempatan.
Yusuf menjelaskan, penekanan bukan sahaja diberikan kepada pembangunan kontraktor, tetapi juga peningkatan kemahiran tenaga kerja muda melalui pelbagai kursus teknikal yang mampu menawarkan masa depan kerjaya yang stabil dan berdaya saing.
Dalam masa sama, CIDB terus mempertingkat pemantauan industri pembinaan di Sarawak bagi memastikan tahap keselamatan berada pada standard tertinggi serta mematuhi semua akta dan peraturan berkaitan.
Beliau berkata, pemantauan itu merangkumi aspek pembayaran levi, penggunaan peralatan keselamatan, kaedah pembinaan, pematuhan sijil kemahiran dan keperluan kad hijau, selain memastikan bahan binaan seperti simen, besi dan bahan import mendapat kelulusan CIDB bagi menjamin keselamatan industri.

SUPP Bau Salur Bantuan Kelengkapan Sekolah Ringankan Beban Keluarga
BAU: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bau meneruskan usaha membantu kanak-kanak yang berdepan masalah persekolahan menerusi penyediaan kelengkapan asas serta kerjasama dengan agensi berkaitan
