KUCHING: Ketua jurulatih Kuching City FC Irfan Bakti Abu Salim melihat pertemuan dengan PDRM FC di Stadium Negeri, Petra Jaya malam esok sebagai detik kebangkitan pasukannya memperbaiki kedudukan.
Lantas, berharap tempoh 90 minit masa permainan tersebut perlu dimuktamad dengan kemenangan yang boleh menjurus perolehan tiga mata penting seperti diinginkan.
“Inilah peluang kami untuk memperbaiki kedudukan, dengan syarat memastikan kemenangan diperoleh pada malam esok,” ujar Irfan kepada Arena Suara Sarawak.
Irfan berharap pemainnya dapat memanfaat kelebihan beraksi di laman sendiri untuk aksi keenam buat anak-anak buahnya setakat ini.
“Tiga mata itu sekiranya berjaya diperoleh bukan sahaja akan mengubah kedudukan semasa The City Boys.
“Malah, mampu menjadi motivasi kepada pemain untuk sentiasa konsisten mencipta keputusan positif pada setiap perlawanan lain selepas ini,” tambah Irfan lagi.
Menurut Irfan, beliau sedar tugasan mencabar bakal diharungi barisan kesebelasan utama dipertaruhkan untuk perlawanan malam esok mengambil kira perbezaan semasa dengan pasukan PDRM FC.
Namun Irfan tetap mengingatkan kepada pemainnya agar kekal fokus dan sentiasa berwaspada.