ARTIKEL

Barisan pelumba MTB Sarawak. Foto: Dewan Bandaraya Kuching Utara

Pelumba Sarawak menyerlah dalam SIMBC 2026

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pelumba Sarawak menyerlahkan prestasi membanggakan dalam beberapa kategori Siol International Mountain Bike Challenge (SIMBC) 2026, termasuk meraih naib juara kategori Rentas Desa Olimpik (XCO) Wanita Remaja pada perlumbaan di Siol MTB Track, Petra Jaya, di sini, semalam.

Aimy Nazurah Rais daripada Sarawak Cycling muncul naib juara XCO Wanita Remaja selepas menamatkan perlumbaan sejauh 9.6 kilometer dengan catatan masa 1 jam 16 minit 41 saat, ketinggalan 8 minit 6 saat daripada juara, Kiana Baruah daripada Team Velo Racing.

Dalam kategori XCO Lelaki Remaja pula, pelumba Sarawak Cycling, Bryan Zhu Yee Goh menduduki tempat ketujuh, manakala Muhammad Kamarul Arifin dan Zaidi Arif Raafif turut menamatkan perlumbaan masing-masing di tempat kelapan dan kesembilan.

Kategori berkenaan menyaksikan Putera Muhammad Rizky Hadi daripada Bolo 1000 Family muncul juara dengan masa 1 jam 15 minit 04 saat, diikuti Norhelmi Ammar Danish dari Helaz Cycling Team di tempat kedua dengan 1 jam 16 minit 21 saat dan Mohamad Fazlansah Fitri daripada MSN Sabah di tempat ketiga dengan 1 jam 16 minit 25 saat.

Sementara itu, dalam XCO Lelaki Elit, pelumba Sarawak Muhammad Nurjamri yang mewakili Randonnee Cycling Team Brunei menamatkan saingan di tempat ke-15 selepas ketinggalan lima pusingan daripada pelumba teratas.

Pelumba Jepun, Soejima Tatsumi daripada TRKWorks mengungguli perlumbaan sejauh 19.2 kilometer itu dengan catatan 1 jam 8 minit 33 saat, diikuti Sergiyenko Denis dari Kazakhstan dengan 1 jam 9 minit 16 saat dan Muhammad Ihza daripada Thrill Factory Racing di tempat ketiga dengan 1 jam 12 minit 23 saat.

Dalam XCO Wanita Elit, pelumba Chinese Taipei Cycling Association, Tsai Ya Yu muncul juara dengan masa 1 jam 28 minit 27 saat, manakala Sherstiuk Maria dari Ukraine National Team di tempat kedua dan Ishida Yui dari TRKWorks di tempat ketiga.

Bagi kategori XCO Wanita Bawah 23 Tahun, Tri Wulandari Elvia daripada Bolo 1000 Family muncul juara dengan catatan 1 jam 27 minit 20 saat, diikuti Chiengsuan Pinpak dan Praphothang Pornpak dari Thailand National Team.

Dalam kategori XCO Lelaki Bawah 23 Tahun pula, Takahashi Sho dari drawer THE RACING muncul juara selepas mencatat masa 58 minit 05 saat bagi jarak 16 kilometer.

Norboo Tsewang daripada Asia Union TCS Racing Team menduduki tempat kedua dengan masa 1 jam 45 saat, manakala Shimazaki Ryoga dari drawer THE CYCLING CLUB di tempat ketiga dengan 1 jam 3 minit 21 saat.

Mohamad Fauzi Muhammad Naufal Iman daripada SCC Bintulu pula mencatat keputusan terbaik dalam kalangan pelumba tempatan dengan menduduki tempat kelima menerusi catatan 1 jam 5 minit 07 saat.

Saingan XCO Lelaki Master A menyaksikan Amir Shahrin dari Team San Dragon muncul juara dengan masa 1 jam 14 minit 08 saat, diikuti Abd Rahim Muaz dan Mazlan Mohd Hafidz. Johari Muhammad Nurjamri turut disenaraikan dalam kategori itu dan menamatkan saingan dengan ketinggalan satu pusingan.

Bagi kategori Lelaki Master B, Ruangsiri Seree dari Thailand National Team mencatat kemenangan dengan masa 1 jam 1 minit 34 saat, manakala Tahir Mohd Zukri dari Team San Dragon di tempat kedua dan Rosli Nor Effandy dari AGPC Team di tempat ketiga.

Dalam saingan Rentas Desa Berpasukan (XCR) merebut Trofi Datuk Bandar, pasukan Asia Union TCS Racing Team/Helaz muncul juara dengan catatan 13 minit 29 saat, diikuti Team San Dragon A dengan 13 minit 32 saat.

SGPH menduduki tempat ketiga dengan 13 minit 37 saat, manakala kuartet Sarawak yang dibarisi Zamahari Mohd Zakwan, Tsai Ya Yu, Johari Muhammad Nurjamri dan Goh Bryan Zhu Yee menamatkan saingan di tempat keempat dengan catatan 13 minit 38 saat.

SIMBC 2026 yang berlangsung di Bukit Siol dari 21 hingga 23 Ogos 2025 disertai sekitar 300 pelumba profesional dan amatur dari lebih 10 negara termasuk Jepun, China, Thailand, Indonesia, dan Filipina, menjadikannya sebagai pemacu utama pelancongan sukan Sarawak.

Dengan jumlah hadiah keseluruhan sebanyak RM87,000, SIMBC 2025 menawarkan ganjaran tertinggi bagi perlumbaan berbasikal lasak di Asia, sekali gus menyediakan pentas kompetitif kepada para pelumba untuk menguji kemampuan dalam perlumbaan bertaraf antarabangsa.

Penganjuran tahun ini turut memperkenalkan kategori baharu Menuruni Bukit Bawah 16 Tahun (DHI U-16), sebagai sebahagian usaha mencungkil bakat muda untuk persiapan menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 dan Sukan SEA 2027.

Edisi tahun ini turut membawa status Kelas 1 Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), sekali gus meningkatkan nilai kompetitif kejohanan dan membuka ruang kepada pelumba tempatan mengumpul pengalaman dalam perlumbaan berstandard antarabangsa.

SIMBC juga menjadi sebahagian daripada usaha memperkukuh pelancongan sukan Sarawak, dengan kejohanan berkenaan menarik penyertaan pelumba profesional luar negara.

Selain saingan kompetitif, penganjuran itu turut memperlihatkan potensi Bukit Siol sebagai lokasi acara sukan lasak yang mampu menarik perhatian peserta serta peminat berbasikal dari dalam dan luar negara.

BERITA LAIN

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha

BERITA TERBARU

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha