KUCHING: Pemandu kereta BMW yang melanggar lari penghantar surat khabar di Jalan Tun Jugah pada 28 Mac lalu tampil menyerah diri hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata lelaki berusia 49 tahun itu menyerah diri di One Stop Centre Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching pada jam 7.15 malam.
Menurutnya, lesen memandu lelaki yang tinggal di RPR Batu Kawa dan bekerja sendiri sebagai tukang pendawaian itu juga sudah tamat tempoh sejak 4 April 2016.
“Berdasarkan rakaman percakapan, dia menyatakan dia lari kerana takut dan panik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Alexson berkata lelaki berbangsa Cina berkenaan turut menyatakan kereta BMW terbabit milik kawannya dan dipinjamkan kepadanya kerana keretanya rosak.
Justeru, katanya dia akan dibawa ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak untuk diambil spesimen darah bagi pemeriksaan alkohol dan dadah dalam darah.
Dalam kejadian sekitar jam 6.15 pagi Khamis lepas, mangsa Chong Kui Hin berusia 67 tahun dari Jalan Urat Mata, Tabuan Jaya mati di tempat kejadian akibat dilanggar dari belakang oleh suspek ketika dia dalam perjalanan menuju ke Jalan Lapangan Terbang.
Bagaimanapun, pemandu kereta BMW terbabit melarikan diri dan kereta dipandunya itu ditemui ditinggalkan di tepi jalan berhampiran Kuching Sentral.
Kereta itu kemudian ditunda ke IPD Kuching untuk siasatan lanjut.
https://suarasarawak.my/2019/03/29/penghantar-surat-khabar-maut-dilanggar-bmw/