BINTULU: Kerjasama kerajaan, sektor swasta dan komuniti setempat perlu diperkukuh bagi memastikan pembangunan kawasan pesisir pantai turut memberi keutamaan kepada keselamatan, kemudahan asas dan kesejahteraan penduduk.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Majang Renggi berkata, pendekatan bersepadu itu penting bagi memastikan setiap inisiatif pembangunan memenuhi keperluan sebenar masyarakat, khususnya penduduk pesisir pantai.
Menurutnya, penglibatan sektor swasta menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama agensi kerajaan mampu memperluas inisiatif kemasyarakatan serta menyediakan kemudahan yang memberi manfaat kepada penduduk.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Sahabat Maritim Ibu Pejabat Maritim Zon Bintulu 2026 di Kampung Kuala Nyalau, Jumaat lalu.
Menerusi program itu, beberapa inisiatif dilaksanakan termasuk membaik pulih pondok rehat di jeti utama serta memasang empat unit lampu solar bagi meningkatkan kemudahan dan keselamatan penduduk.
Majang berkata, inisiatif berkenaan mencerminkan keprihatinan agensi kerajaan dan rakan strategik dalam memenuhi keperluan komuniti setempat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), khususnya Ibu Pejabat Maritim Zon Bintulu, Press Metal, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta semua pihak yang menjayakan program itu.
Dalam pada itu, beliau mengalu-alukan penyertaan SEARAH, syarikat usaha sama antara ENI Italy dan PETRONAS Malaysia dalam sektor gas huluan, sebagai rakan strategik baharu bagi memperluas program kemasyarakatan.
Katanya, kerjasama kerajaan dan sektor industri perlu diteruskan bagi menyokong pembangunan kawasan Samalaju supaya manfaat pertumbuhan ekonomi turut dinikmati masyarakat setempat.
Beliau berkata, pembangunan tidak seharusnya diukur berdasarkan kemajuan fizikal dan pertumbuhan ekonomi semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira kesejahteraan masyarakat dan perpaduan.






