ARTIKEL

Tradisi kegemilangan ini perlu diteruskan agar lebih ramai penulis PUTERA tampil dengan karya bermutu.

Pencapaian penulis PUTERA

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

DALAM konteks perkembangan sastera di Sarawak, Hadiah Sastera Sarawak (HSS) memainkan peranan penting sebagai wadah pengiktirafan terhadap ketekunan, kreativiti dan sumbangan para penulis tempatan.

Sebelum ini dikenali sebagai Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak (HPPS) dan Hadiah Sastera Penulis Sarawak (HSPS), Merupakan program tahunan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak.

Selama lebih tiga dekad, DBP Cawangan Sarawak berusaha merangkai hasrat penulis kreatif dan bukan kreatif para penulis Sarawak yang gigih memartabatkan dunia penulisan di negeri ini.

Sepanjang penganjurannya, HSS telah memberikan penghormatan kepada karya yang bermutu, di samping menyemarakkan semangat kepengarangan serta mendorong para penulis untuk terus menghasilkan karya yang bernilai dari segi estetika, pemikiran dan sumbangannya kepada masyarakat.

Antara objektif HSS ialah:

1. Mengiktiraf dan menghargai karya penulisan kreatif dan bukan kreatif penulis Sarawak yang berkualliti serta menyumbang kepada perkembangan bahasa dan sastera Sarawak.

2. Menyemarakkan budaya penulisan dan penerbitan dalam kalangan penulis tempatan dengan menyediakan platform pengiktirafan yang berprestij dan berterusan.

3. Memperkukuh pemartabatan bahasa Melayu serta warisan sastera Sarawak sebagai wahana pembinaan jati diri, pemikiran dan budaya masyarakat.

Pengiktirafan yang diberikan turut memperlihat kepentingan sastera sebagai wahana pemartabatan bahasa Melayu, memelihara warisan budaya dan pembinaan jati diri masyarakat.

Dalam sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian etnik, bahasa, tradisi dan pengalaman hidup, sastera berpotensi menjadi jambatan yang menghubungkan perbezaan, merakam keadaan budaya serta meneruskan kefahaman tentang kehidupan bersama.

Kewujudan HSS perlu dilihat dari sudut penghargaan terhadap pencapaian penulis, di samping juga sebagai usaha membina prasarana sastera yang berdaya maju dan berterusan.

Pengiktirafan terhadap karya berkualiti dapat menjadi pemangkin kepada budaya penulisan dan penerbitan, di samping membuka ruang kepada kemedunculan suara baharu yang mampu memperkaya khazanah kesusasteraan Sarawak.

Sesungguhnya, nilai sesebuah hadiah sastera tidak terhenti pada pengumuman pemenang atau penyampaian penghargaan. Nilainya turut terletak pada sejauh mana pengiktirafan itu dapat menghidupkan tradisi membaca, seterusnya menggalakkan penghasilan karya bermutu dan memastikan sastera terus berperanan sebagai suara nurani masyarakat.

Dalam kerangka inilah HSS wajar terus diperkasakan sebagai institusi pengiktirafan yang merakam kecemerlangan kepengarangan, serta memelihara kesinambungan tradisi sastera dan memperkukuh kedudukan Sarawak dalam peta kesusasteraan tanah air.

Majlis penyampaian Hadiah Sastera Sarawak 2025 telah berlangsung dalam Majlis Tinta Kenyalang 2026 pada 27 Oktober lalu di Dewan Tan Sri Aziz, Kolej Universiti i-CATS Kuching.

Keputusan penuh adalah seperti berikut:

Kategori puisi

Zainal Abidin Suhaili “Di Alam Cangkerang”, Berita Harian, 13 April 2025.

Ahmad Tajuddin Ismail “Tentang Kota Raya, Hidup dan Rindu”, Suara Sarawak, 14 Januari 2025.

Stefanie Kaso “Sinis Monalisa”, YIIB, Utusan Borneo, 10 November 2025.

Abang Median Abang Said “Sumpah yang Tak Tertulis”, Suara Sarawak, 13 Julai 2025.

Nur Azshielldha Sahran “Kepada Han-hari yang Terpilik sebagai Bulan Lapar dan Dahaga”, YIIB, Utusan Borneo, 07 April 2025.

KATEGORI CERPEN

Abang Median Abang Said “Rumah Kapal”, Dewan Sastera, Bil. 3/2025.

Clayton Robert “Muzium Tidak Bernama”, Pelita Bahasa, Bil.7/2025.

Jaya Ramba “Di Balik Sirat Yang Terlilit”, YIIB, Utusan Borneo, 26 Mei 2025.

Nur Azshielldha Sahran “TV Adalah Maut”, Suara Sarawak, 1 Februari 2025.

Jais Sahok “Jarami Uma”, Dewan Sastera, Bil. 5/2025.

KATEGORI ESEI KRITIKAN

Dr. Sara Beden “Kepincangan Sosial dalam Melati Sarawak dari Perspektif Teori Sosiologi”, Jurnal Antarabangsa Pengajian Kepulauan Melayu International Journal of Melayu Archipelago Studies, ISSN2811-390X, Jil. 5 Bil. 1, 2025.

Abang Median Abang Said “Dimensi Fizikal Metafizikal dalam Bara Senja Pendekatan Bacaan Idealisitik Teksdealisme”, Suara Sarawak, 30 November 2025 dan Suara Sarawak, 7 November 2025.

Abang Basri Abang Abdillah “Membaca Kumpulan Puisi Lelaki Sunyi di Alam Sembunyi Berdasarkan Kerangka Takwil Estetika Sufistik Maknawi”, YIIB, Utusan Borneo, (Bahagian 1) 8 Disember 2025 dan (Bahagian 2) 15 Disember 2025.

Dr. Dilah Tuah “Membaca Trans-Malaysia: Satu Penelitian Kritikan Respons Pembaca”, YIIB, Utusan Borneo, 27 Januari 2025.

Dr. Amir Asyraff Jamin “Wacana Pendidikan Masyarakat dalam Novel-Novel Sasterawan Negara Era Milenium Ketiga dari Perspektif Realisme Luakas”, Asian People Journal, Vol. 8 (1), 2025, 30 April 2025.

KATEGORI SKRIP DRAMA

Mohammad Asri Ibrahim “Keling dan Kumang”, Seni Pentas Tradisional 2025, 7-8 November 2025.

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada semua pemenang Hadiah Sastera Sarawak (HSS), khususnya kepada tujuh ahli Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA), iaitu Zainal Abidin Suhaili (Abizai), Jaya Ramba, Abang Median Abang Said, Basri Abdillah, Clayton Robert, Stefanie Kaso dan Ahmad Tajuddin Ismail (Angelo Tai).

Kejayaan mereka amat membanggakan persatuan dan membuktikan bahawa penulis PUTERA terus memainkan peranan penting dalam menyemarakkan perkembangan kesusasteraan di Sarawak.

Walau bagaimanapun, pencapaian ini bukanlah sesuatu yang baharu. Hampir setiap tahun, nama penulis PUTERA menghiasi senarai pemenang HSS, sekaligus memperlihatkan ketekunan, kesungguhan dan konsistensi mereka dalam berkarya.

Antara yang paling menonjol ialah Zainal Abidin Suhaili (Abizai) dan Abang Median Abang Said, yang mencatatkan banyak kemenangan sejak HSS diperkenalkan pada 1991. Setakat ini, sebanyak 36 karya Abizai telah memenangi HSS, merangkumi 29 puisi dan tujuh esei kritikan.

Abang Median pula terus memperlihatkan ketekalan dan keupayaan kreatifnya apabila sering meraih kemenangan dalam pelbagai kategori, termasuk cerpen, puisi, esei kritikan dan novel.

PUTERA turut memiliki barisan penulis yang pernah mengharumkan nama persatuan melalui kejayaan dalam HSS sebelum ini. Antaranya ialah Paul Nanggang, Za’abale Shuaini, Jong Chian Lai, Jeli Bohari Biha, Pharo Abdul Hakim, Hipani Alwi, David Belulok, Frankie Latt, Sriwati Labot, Mozaaz, Zaini Bilong, Radzeman Bohlassan,Piee Ling dan Noor Abby. Deretan nama ini membuktikan bahawa PUTERA mempunyai tradisi kepengarangan yang panjang dan sumbangan yang bermakna dalam landskap kesusasteraan Sarawak.

Semoga kejayaan tujuh penulis PUTERA dalam HSS terkini menjadi pemangkin untuk memperkukuh semangat berkarya dalam kalangan ahli yang lain, khususnya generasi penulis muda. Pencapaian ini wajar diraikan sebagai kebanggaan bersama sambil mengekalkan keyakinan bahawa kesungguhan, disiplin dan keaslian dalam berkarya mampu membuka jalan menuju kecemerlangan.

Tradisi kegemilangan ini perlu diteruskan agar lebih ramai penulis PUTERA tampil dengan karya bermutu, sekali gus mengangkat martabat persatuan dan memperkaya khazanah kesusasteraan Sarawak pada tahun-tahun mendatang.

BERITA LAIN

Teknologi rapat jurang kaunseling

DUNIA sedang berubah. Cara manusia bekerja, berkomunikasi dan mendapatkan maklumat turut berubah. Tanpa kita sedari, cara manusia mendapatkan sokongan emosi juga sedang berubah. Telefon pintar,

Ada janji di sebalik emas

Disebalik dua pingat emas Paralimpik dan rekod dunia yang dicipta, Bonnie Bunyau Gustin memegang satu janji yang menjadi sebahagian daripada perjalanan hidupnya, iaitu untuk membuktikan

BERITA TERBARU

Ruby Elite sasar PNGK 4.00 STPM 2027

KOTA SAMARAHAN: Pelajar Tingkatan Enam daripada empat sekolah menengah di Samarahan menyertai Program 4.00: Ruby Elite Siri 1 STPM 2027 bagi memperkukuh persediaan akademik dan