Disebalik dua pingat emas Paralimpik dan rekod dunia yang dicipta, Bonnie Bunyau Gustin memegang satu janji yang menjadi sebahagian daripada perjalanan hidupnya, iaitu untuk membuktikan kepada bapanya bahawa segala pengorbanan selama ini tidak pernah sia-sia.
Bagi atlet angkat berat para negara kelahiran Serian ini, kejayaan di pentas antarabangsa bukan sekadar mengangkat beban ratusan kilogram atau berdiri di atas podium sebagai juara.
Lebih daripada itu, setiap pencapaian tersebut buat seorang anak yang menjadikan bapanya, Gustin Jenang sebagai sumber inspirasi.
Ikatan antara bapa dengan anak itu menjadi nadi dokumentari CEKAL: Kisah Bonnie Bunyau Gustin, terbitan Kayu Malam Productions Sdn. Bhd., yang merakam perjalanan seorang atlet dalam mengejar impian, menghadapi cabaran dan mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.
Ditayangkan menerusi TVS pada 22 Julai lalu bersempena dengan sambutan Hari Sarawak, dokumentari itu membawa penonton menyelami sisi kehidupan Bonnie yang jarang dipaparkan, termasuk pengorbanannya berjauhan daripada keluarga demi menjalani latihan, kecederaan yang berlarutan serta komitmen untuk terus bersaing pada peringkat tertinggi.
Dilahirkan pada 3 Jun 1999, Bonnie membesar dalam keluarga yang erat kaitannya dengan sukan angkat berat para.
Bapanya sendiri pernah mewakili negara pada Kejohanan Dunia Angkat Berat Para 2010 di Kuala Lumpur, sekali gus membuka ruang kepada Bonnie untuk mengenali sukan yang akhirnya mengubah perjalanan hidupnya.
Minat itu mula berkembang ketika beliau berusia 15 tahun, lalu mengikuti jejak langkah bapanya dan memutuskan untuk memberikan tumpuan kepada sukan tersebut, walaupun keputusan itu menuntut pengorbanan besar pada usia muda.
Beliau meninggalkan bangku sekolah untuk memberikan tumpuan kepada latihan dan pembangunan diri sebagai atlet.
Ketika rakan sebaya meneruskan kehidupan persekolahan, Bonnie perlu menyesuaikan diri dengan rutin latihan yang memerlukan disiplin tinggi, termasuk latihan di Kuala Lumpur dan berjauhan daripada keluarga.
Namun, beliau mempunyai matlamat yang ingin dicapai, iaitu membuktikan bahawa pilihannya mampu membuahkan kejayaan dan kepercayaan bapanya tidak sia-sia.
Perjalanan Bonnie tidak bermula dengan pingat emas Paralimpik. Pada Sukan Para Remaja Asia 2014 di Kuala Lumpur, beliau menduduki tempat keempat.
Walaupun belum berjaya meraih pingat, pengalaman itu menjadi salah satu langkah awal dalam membina keyakinan untuk bersaing pada peringkat antarabangsa.
Tiga tahun kemudian, beliau muncul sebagai juara dunia junior pada Kejohanan Dunia Angkat Berat Para Junior 2017 di Mexico City.
Bonnie kemudian meraih pingat perak pada Sukan Para Asia 2018 di Jakarta sebelum menjuarai kategori lelaki sehingga 65 kilogram pada Kejohanan Dunia Angkat Berat Para 2019 di Nur-Sultan, Kazakhstan.
Pencapaian itu menjadi asas kepada kejayaan yang lebih besar apabila beliau beralih ke kategori lelaki sehingga 72 kilogram.
Kemuncak kerjayanya tiba pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang berlangsung pada 2021 selepas ditangguhkan akibat pandemik COVID-19.
Pada 27 Ogos tahun itu, Bonnie mencipta sejarah apabila melakukan angkatan 228 kilogram untuk memenangi pingat emas dan mencipta rekod Paralimpik baharu.
Kejayaan tersebut menjadikannya atlet Malaysia pertama yang memenangi pingat emas Paralimpik dalam acara angkat berat para, sekali gus mengangkat namanya sebagai antara atlet terkemuka negara.
Namun, kejayaan di Tokyo bukan penamat perjuangannya. Bonnie kembali ke pentas Paralimpik pada Sukan Paralimpik Paris 2024 dengan misi mempertahankan gelaran yang diraihnya di Tokyo.
Beliau berjaya mengangkat 232 kilogram untuk meraih pingat emas Paralimpik kedua berturut-turut dalam acara berkenaan, sekali gus mencipta rekod dunia baharu.
Daripada 228 kilogram di Tokyo kepada 232 kilogram di Paris, peningkatan itu mencerminkan kesungguhan Bonnie untuk terus meningkatkan prestasinya.
Namun, di sebalik catatan angka dalam rekod pertandingan, terdapat cabaran fizikal yang terpaksa dihadapinya sepanjang perjalanan tersebut.
Pengarah dokumentari CEKAL: Kisah Bonnie Bunyau Gustin, Mark Nyambang berkata, Bonnie mengalami kecederaan berpanjangan sejak Sukan Paralimpik Tokyo hinggalah ke Paris.
“Tidak ramai yang menyedari Bonnie bergelut dengan kecederaan sejak Sukan Paralimpik Tokyo sehingga lah ke Paris.
“Walaupun berdepan dengan cabaran itu, dia tetap tabah meneruskan perjuangan sehingga berjaya memecahkan rekod dunia untuk Malaysia,” katanya.
Menurut Mark, proses penggambaran dokumentari itu mengambil masa tiga bulan dan dijalankan di Kuala Lumpur serta Kuching.
“Sepanjang penggambaran, kami menyedari bahawa kisah ini jauh melangkaui bidang sukan. Ia sebenarnya berkisar tentang seorang anak yang menunaikan janji kepada bapanya.
“Ketika masih muda, Bonnie mengambil keputusan untuk meninggalkan alam persekolahan demi memberikan sepenuh tumpuan kepada sukan ini
“Dia berjanji untuk memberikan yang terbaik kepada bapanya, dan kejayaan luar biasa hari ini membuktikan komitmen tersebut,” kongsinya.
Kisah itu memperlihatkan perjalanan seorang atlet bukan hanya ditentukan oleh kekuatan fizikal, malah turut memerlukan ketahanan mental, pengorbanan dan sokongan daripada insan terdekat.
Bagi Bonnie, bapanya menjadi sumber inspirasi dan pendorong dalam perjalanannya daripada seorang atlet muda hingga bergelar juara dunia.
Terbaharu, Bonnie sekali lagi membuktikan kemampuannya apabila memenangi pingat emas pada Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 dalam kategori lelaki sehingga 72 kilogram.
Dalam pertandingan di Nagoya pada 20 Oktober lalu, beliau mencatat angkatan terbaik seberat 225 kilogram.
Walaupun gagal menyempurnakan angkatan terakhir seberat 231 kilogram, kejayaan itu membolehkannya mempertahankan gelaran yang diraih pada edisi 2022 di Hangzhou.
Beliau turut menerima pengiktirafan sebagai Olahragawan Paralimpik Kebangsaan pada tahun ini, sekali gus menambah satu lagi pencapaian dalam kerjayanya.
Sementara itu, dokumentari ini turut tersenarai antara lima calon terbaik bagi kategori Dokumentari Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-35 (FFM35).
Pengiktirafan itu membuka ruang yang lebih luas untuk memperkenalkan kisah Bonnie, bukan hanya sebagai atlet yang mencipta sejarah, tetapi juga sebagai seorang anak yang membawa harapan keluarga dalam perjuangannya.
Dokumentari tersebut turut memaparkan temu bual dengan Bonnie, Gustin, jurulatih, Menteri Belia dan Sukan, rakan karib serta wartawan sukan.
Penghasilan dokumentari itu mendapat pembiayaan menerusi Dana Kandungan Kenegaraan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
Bagi Mark, pencalonan itu merupakan penghormatan kepada pasukan produksi, Sarawak dan semua pihak yang menyokong perjalanan Bonnie.
“Melibat filem ini mendapat pengiktirafan pada peringkat tertinggi industri perfileman Malaysia menerusi FFM35 merupakan satu penghormatan yang amat besar.
“Pencalonan ini ialah kejayaan bersama bagi Sarawak dan semua pihak yang menyokong perjalanan luar biasa Bonnie,” katanya.
Daripada seorang remaja yang memilih laluan berbeza demi mengejar impian hingga bergelar juara Paralimpik dua kali, perjalanan Bonnie membuktikan kejayaan memerlukan kesungguhan untuk terus melangkah meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran.
Di sebalik pingat emas dan rekod dunia yang dicipta, kisahnya tetap berakar pada hubungan dengan bapanya yang membuka jalan dan menjadi sumber inspirasi sepanjang perjuangannya.
Menerusi CEKAL: Kisah Bonnie Bunyau Gustin, penonton diajak menyelami hakikat bahawa kejayaan seorang atlet turut ditentukan melalui keputusan yang sukar, masa yang dikorbankan dan sokongan keluarga yang tidak pernah putus.
Bagi Bonnie, setiap kemenangan bukan sahaja membawa kebanggaan kepada Malaysia dan Sarawak, malah turut memberikan makna besar kepada keluarga yang sentiasa menjadi sebahagian daripada perjalanannya.
Pada akhirnya, kisah ini bukan sekadar mengenal seorang atlet yang mampu mengangkat beban seberat 232 kilogram atau memenangi dua pingat emas Paralimpik.
Sebaliknya, kisah ini mengangkat perjuangan seorang anak yang berusaha membuktikan bahawa kepercayaan dan pengorbanan bapanya tidak pernah sia-sia.
Di sebalik setiap angkatan yang mengharumkan nama negara, tersimpan satu janji yang terus menjadi pendorong untuk melangkah lebih jauh.






