BINTULU: Penyampaian maklumat mengenai dasar, inisiatif pembangunan dan bantuan kerajaan perlu diperluas hingga ke peringkat akar umbi bagi memastikan rakyat mengetahui serta dapat memanfaatkan kemudahan yang disediakan.
Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintulu, Johnny Pang Leong Ming berkata, keberkesanan sesuatu dasar bukan sahaja bergantung kepada perancangan dan peruntukan, malah turut ditentukan oleh sejauh mana maklumat mengenainya sampai kepada masyarakat.
Menurutnya, masih terdapat penduduk yang kurang mengetahui jenis bantuan, syarat kelayakan serta agensi yang perlu dirujuk untuk mendapatkan perkhidmatan tertentu.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jangkauan Setiausaha Politik: Majlis Taklimat dan Penerangan Inisiatif dan Strategi PCDS 2030 Kerajaan Sarawak N68 Tanjong Batu di sebuah restoran di sini, Sabtu.


Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Batu itu berkata, program berkenaan menjadi platform komunikasi dua hala antara kerajaan dengan masyarakat menerusi penyediaan akses langsung kepada jabatan dan agensi kerajaan.
Menurutnya, penyertaan lebih 20 jabatan dan agensi di bawah satu bumbung membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat, mengemukakan pertanyaan serta menyelesaikan kemusykilan tanpa perlu mengunjungi pejabat berasingan.
Pendekatan itu juga membolehkan masyarakat mendapatkan penjelasan daripada agensi bertanggungjawab, sekali gus mengelakkan kekeliruan akibat penyebaran maklumat tidak sahih melalui media sosial atau saluran tidak rasmi.
Program berkenaan memberi tumpuan kepada Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), selain mengetengahkan pelbagai inisiatif dan perkhidmatan kerajaan dalam bidang pendidikan, infrastruktur, utiliti, perumahan, kebajikan serta pembangunan sosioekonomi.
Antara agensi yang berkongsi maklumat menerusi sesi taklimat ialah Sarawak Energy, Sarawak Water, Yayasan Sarawak, Jabatan Kerja Raya (JKR), Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), AirBorneo, Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Pameran jabatan dan agensi turut menyediakan maklumat berkaitan kebajikan, pertanian, kesihatan, pekerjaan, keselamatan sosial, pendidikan, latihan, perumahan dan komunikasi untuk rujukan masyarakat.

Mengulas lanjut, Johnny Pang berkata, penyampaian maklumat hingga ke peringkat akar umbi atau last-mile delivery perlu diberi perhatian supaya manfaat dasar kerajaan dapat dirasai penduduk di kampung, kawasan perumahan dan komuniti setempat.
Katanya, kerjasama antara agensi kerajaan dengan pemimpin masyarakat, pusat khidmat, sekolah, persatuan serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu diperkukuh bagi memastikan maklumat mengenai dasar dan bantuan disebarkan secara meluas.
Beliau turut menggalakkan peserta berkongsi maklumat yang diperoleh bersama keluarga, jiran dan komuniti masing-masing supaya manfaat program tidak terhad kepada mereka yang hadir sahaja.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Setiausaha-Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Pejabat Daerah Bintulu serta semua jabatan dan agensi kerajaan yang menjayakan program berkenaan.
Menurutnya, penganjuran program berskala besar itu memerlukan perancangan, penyelarasan dan kerjasama pelbagai pihak, termasuk pasukan N68 Tanjong Batu yang menguruskan persiapan, penyertaan agensi, logistik serta perjalanan program.
Johnny Pang berharap program jangkauan seumpama itu diteruskan bagi memastikan masyarakat sentiasa mendapat maklumat terkini mengenai dasar, inisiatif pembangunan dan perkhidmatan kerajaan, sekali gus meningkatkan kefahaman terhadap PCDS 2030.




