KUCHING: Pemandu kenderaan berusia 16 tahun, yang mengakibatkan kemalangan maut di Jalan Stutong Baharu pada 14 Januari lepas, telah dibebaskan dengan jaminan polis baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata remaja tersebut ditahan dan pihak polis sudah mengambil keterangan daripadanya.
“Siasatan sedang dijalankan, kita masih menunggu laporan daripada agensi-agensi lain yang terlibat,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, petang tadi.
Sementara itu, Farhan menambah, pemandu itu perlu ke hospital secara berkala untuk mendapatkan rawatan susulan.
Katanya, remaja itu mengalami cedera di leher akibat kemalangan membabitkan dua kenderaan dan dua motosikal sehingga meragut lima nyawa.
Dalam nahas yang berlaku pada 14 Januari lalu, sebuah kereta yang melalui jalan itu dari Jalan Lapangan Terbang ke Jalan Setia Raja, hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan.
Kenderaan yang dipandu remaja itu kemudian bertembung dengan beberapa kenderaan.
Akibat kemalangan itu, tiga lelaki dan seorang wanita berumur 16 hingga 45 tahun maut di tempat kejadian.
Manakala seorang lagi mangsa, remaja lelaki berusia 16 tahun, meninggal dunia ketika mendapat rawatan di zon merah Hospital Umum Sarawak (HUS).
Sehubungan itu, kata Farhan, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.


