ARTIKEL

Steven menyampaikan bakul makanan kepada penerima yang layak sempena Program GEMA: Gerakan Massa Masyarakat Desa 2026 anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Bahagian Bintulu di Rumah Sait Jaya.

Pembangunan desa perlu kerjasama kerajaan, masyarakat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Kerjasama erat antara kerajaan, agensi pelaksana dan masyarakat setempat menjadi faktor penting bagi memastikan agenda pembangunan desa dilaksanakan secara inklusif, menyeluruh dan menepati keperluan sebenar rakyat.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata pembangunan desa tidak boleh digalas oleh kerajaan atau agensi tertentu semata-mata, sebaliknya memerlukan komitmen bersama semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta, pemimpin masyarakat dan penduduk setempat.

Beliau berkata, penggemblengan kepakaran, sumber dan sumbangan pelbagai pihak mampu menghasilkan impak pembangunan yang lebih besar, sekali gus memastikan manfaatnya dapat dinikmati masyarakat secara berterusan.

“Pendekatan sinergi antara pelbagai agensi merupakan langkah penting dalam memperkukuh jaringan kerjasama serta meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat,” katanya.

Steven menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan mewarna kanak-kanak Program GEMA: Gerakan Massa Masyarakat Desa 2026 anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Bahagian Bintulu di Rumah Sait Jaya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang disampaikan Pegawai Tugas-Tugas Khasnya, Steven Kong Kai Seng, pada majlis penangguhan Program GEMA: Gerakan Massa Masyarakat Desa 2026 anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Bahagian Bintulu di Rumah Sait Jaya, di sini, pada Ahad.

Tiong berkata, Program GEMA yang dilaksanakan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) merupakan platform strategik untuk memperkukuh hubungan antara kerajaan dengan rakyat melalui pendekatan libat urus secara langsung, mesra rakyat dan berimpak tinggi.

Menurutnya, program bertemakan ‘Memasyarakatkan KEMAS, Merakyatkan Aspirasi Pimpinan’ itu turut berperanan mendekatkan institusi kerajaan dengan masyarakat, selain memastikan dasar, inisiatif dan agenda pembangunan yang dirancang dapat difahami serta dimanfaatkan golongan sasaran.

Katanya, keberkesanan sesuatu pembangunan bukan hanya bergantung kepada perancangan di peringkat pentadbiran, tetapi turut ditentukan oleh tahap penglibatan masyarakat sebagai rakan pembangunan.

Sehubungan itu, pendekatan turun padang dan libat urus secara langsung perlu terus diperkasakan bagi membolehkan kerajaan serta agensi pelaksana memahami keperluan sebenar penduduk, mendengar pandangan mereka dan mengenal pasti kelemahan dalam penyampaian perkhidmatan.

“Hubungan erat antara kerajaan dengan rakyat merupakan asas penting kepada pelaksanaan pembangunan yang lebih inklusif, bersasar dan menepati keperluan masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pembangunan desa perlu dilihat daripada perspektif yang lebih luas dan tidak hanya tertumpu kepada penyediaan infrastruktur serta kemudahan fizikal.

Sebaliknya, katanya, pembangunan berkenaan perlu merangkumi peluang ekonomi, pendidikan, peningkatan kemahiran, kesejahteraan sosial dan pengukuhan perpaduan bagi memastikan masyarakat desa turut menikmati kemajuan serta peningkatan kualiti hidup.

Mengulas aspek perpaduan, Tiong berkata, kepelbagaian kaum, budaya, agama dan adat resam di negara ini merupakan kekuatan yang perlu terus dipelihara melalui amalan saling menghormati, bertolak ansur dan saling membantu.

Beliau berkata, nilai kemasyarakatan seperti gotong-royong dan semangat kebersamaan perlu terus disemai serta diwariskan kepada generasi muda bagi memastikan keharmonian masyarakat kekal terpelihara.

Katanya, aktiviti seperti gotong-royong, rewang sekampung, ziarah kasih dan program santai bersama penduduk bukan sekadar pengisian aktiviti, malah menjadi wadah penting untuk mengeratkan silaturahim, memupuk persefahaman dan memperkukuh perpaduan.

Tiong berharap Program GEMA dapat terus menjadi platform yang menghimpunkan masyarakat tanpa mengira latar belakang, selain merapatkan hubungan antara pemimpin, agensi kerajaan dan rakyat.

Beliau turut mengingatkan bahawa kejayaan sesuatu program tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah kehadiran atau kelancaran penganjuran semata-mata, sebaliknya perlu diukur berdasarkan manfaat yang diterima masyarakat serta perubahan positif yang berjaya diwujudkan.

Justeru, segala maklumat, pandangan dan maklum balas yang dikumpulkan sepanjang program perlu dijadikan asas dalam merangka serta melaksanakan inisiatif pembangunan yang lebih bersasar dan memenuhi keperluan sebenar penduduk.

Beliau berharap Program GEMA 2026 dapat menjadi pemangkin kepada pembentukan masyarakat desa yang lebih progresif, berdaya saing, inklusif, bersatu padu dan sejahtera.

BERITA LAIN

Jualan kraf Regata Sarawak dijangka lepasi RM2 juta

KUCHING: Jualan produk kraf sempena Regata Sarawak 2026 dijangka melebihi RM2 juta, susulan sambutan menggalakkan pengunjung sepanjang minggu penganjurannya di Tebingan Kuching. Menteri Pelancongan, Industri

BERITA TERBARU

Jualan kraf Regata Sarawak dijangka lepasi RM2 juta

KUCHING: Jualan produk kraf sempena Regata Sarawak 2026 dijangka melebihi RM2 juta, susulan sambutan menggalakkan pengunjung sepanjang minggu penganjurannya di Tebingan Kuching. Menteri Pelancongan, Industri