BINTULU: Pembangunan institusi keagamaan menjadi antara keutamaan di kawasan Tanjong Batu melalui pelaksanaan pelbagai projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP).
ADUN Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, rumah ibadat bukan sahaja berperanan sebagai pusat keagamaan, malah menjadi institusi komuniti yang menyokong keharmonian serta pembangunan sosial setempat.
“Melalui dialog dan kerjasama berterusan, kita dapat mempertingkatkan kemudahan, memperkukuh aspek keselamatan dan menyumbang kepada pembangunan komuniti yang lebih menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Paderi baharu Gereja St. Anthony Bintulu, Father Vincent Sta bersama-sama wakil jawatankuasa gereja berkenaan.
Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan semua pertubuhan keagamaan agar terus menjalin komunikasi dan kerjasama konstruktif bagi memastikan pembangunan komuniti yang inklusif dan seimbang dapat direalisasikan.
Menurutnya lagi, kunjungan ini turut memberi ruang kepada perbincangan berkaitan hala tuju pembangunan masa depan gereja serta keperluan penambahbaikan fasiliti termasuk aspek infrastruktur dan kemudahan sokongan bagi kesejahteraan para penganut.
Beliau juga menegaskan komitmen untuk membantu pihak gereja meneliti saluran permohonan bersesuaian, termasuk mendapatkan sokongan daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) serta memudah cara perbincangan dan penyelarasan bantuan yang bersesuaian.


