KAPIT: Pembangunan di Kapit akan terus diperkasa sebagai usaha untuk memastikan rakyat di kawasan pedalaman terus menikmati akses kepada kemudahan asas dan pembangunan yang lebih baik.
Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Kapit, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, semangat kerjasama antara Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dengan pemimpin setempat sebagai satu pasukan banyak membawa pembangunan di kawasan tersebut.


“Melalui semangat kerjasama ini juga, banyak projek pembangunan telah dan sedang dilaksanakan di Kapit termasuk projek jalan, jambatan, bekalan air, bekalan elektrik, kemudahan awam dan pelbagai Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) yang memberi manfaat terus kepada rakyat.
“Antaranya termasuk projek jalan dari Nibong/Tada ke Sungai Belawai, pembinaan jambatan menyeberangi Batang Rajang di Sungai Belawai, jalan dari Nanga Belawai ke Nanga Seranau serta perancangan sambungan ke kawasan sekitar Kapit,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Tambahnya, projek besar ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkukuh jaringan perhubungan dan membuka lebih banyak peluang pembangunan kepada rakyat luar bandar.
Katanya, dalam tempoh tiga tahun lima bulan beliau menerajui Kementerian Kerja Raya, peruntukan Kerajaan Persekutuan yang dibawa ke bahagian Kapit telah melebihi RM2.1 bilion.
“Ini termasuk peruntukan lebih RM300 juta bagi Jambatan Sungai Belawai yang menyeberangi Batang Rajang, lebih RM400 juta bagi jalan dari Nanga Belawai ke Nanga Seranau, selain projek pembinaan Kolej Profesional MARA, Ibu Pejabat Polis Daerah Kapit baharu dan pelbagai lagi projek infrastruktur lain.
“Pada masa yang sama, isu berkaitan Jalan Jiwa Murni turut diberi perhatian. Walaupun laluan tersebut tidak dibina mengikut spesifikasi Jabatan Kerja Raya, usaha penyelesaian tetap diteruskan bersama ADUN kawasan, Kerajaan Sarawak dan agensi berkaitan demi kepentingan rakyat,” ujarnya.
Beliau memberitahu, bagi projek RTP pula, ia bukan sekadar projek kecil-kecilan, tetapi sebahagian daripada usaha memperbaiki kemudahan asas dan meningkatkan keselesaan hidup masyarakat.
“Saya turut menyentuh mengenai projek Skim Bekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES) iaitu inisiatif bekalan tenaga solar sebagai penyelesaian sementara kepada komuniti luar bandar, sementara menunggu sambungan bekalan elektrik tetap melalui grid Kerajaan Sarawak di bawah Sarawak Energy Berhad (Sarawak Energy).
Dalam hal berkaitan, projek naik taraf Rumah Panjang Seblie Anak Ngelai yang melibatkan kerja pemasangan jubin di ruai rumah panjang dengan nilai keseluruhan RM408,000, merupakan antara contoh komitmen ini.
“Selain itu, saya turut mengumumkan peruntukan RM250,000 bagi bekalan air untuk rumah panjang tersebut serta RM5,000 kepada Biro Wanita bagi 20 rumah panjang yang belum menerima peruntukan sebelum ini,” katanya lagi.
Dalam hal berkaitan, beliau memberitahu, pembangunan di Kapit memang belum lengkap sepenuhnya, namun ia sedang bergerak dan akan terus diperkasa.
“Tiada kawasan yang harus ditinggalkan, dan saya yakin melalui kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, ADUN, pemimpin tempatan dengan komuniti rumah panjang, lebih banyak kemajuan dapat dibawa ke Bahagian Kapit.
Terdahulu, beliau memaklumkan, rumah panjang bukan sekadar tempat berteduh, tetapi lambang perpaduan, warisan dan kekuatan komuniti masyarakat Iban di Sarawak.
Menurutnya, beliau berasa gembira kerana berpeluang hadir ke Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Seblie Anak Ngelai, Nanga Dap, Batang Rajang, Kapit bersama-sama masyarakat setempat.
“Sebagai Ahli Parlimen Kapit selama lebih 27 tahun, saya amat menghargai setiap peluang untuk turun padang bertemu rakyat sekali gus mendengar sendiri keperluan komuniti dan melihat perkembangan pembangunan di kawasan luar bandar.
“Walaupun tanggungjawab saya sebagai Menteri Kerja Raya meliputi seluruh Malaysia, komitmen terhadap pembangunan Kapit tetap menjadi keutamaan. Apa yang penting, pembangunan hanya dapat diperkasa apabila Ahli Parlimen, ADUN dan pemimpin setempat bekerjasama sebagai satu pasukan,” tegasnya lagi.


