ALOR SETAR: Seorang pembantu laut didenda RM7,000 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen, di sini semalam selepas mengaku bersalah atas 10 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM2,100 antara 2018 hingga 2019.
Hakim Rohatul Akmar Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Suhaimi Ahmad, 44, yang bertugas di Jabatan Perikanan Negeri Perlis.
Mengikut pertuduhan pertama hingga kesembilan, tertuduh didakwa menerima sesuatu yang berharga tanpa balasan iaitu wang sebanyak RM200 bagi setiap pertuduhan dan RM300 bagi pertuduhan ke-10 daripada dua individu yang mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya sebagai pembantu laut.
Kesemua pertuduhan itu didakwa dilakukan di cawangan sebuah bank di Sungai Petani antara 2 Dis 2018 hingga 26 Jun 2019.
Semua pertuduhan adalah di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengenakan hukuman yang ringan kerana perlu menyara seorang isteri dan lima anak selain berjanji untuk tidak mengulangi kesilapannya di masa hadapan.
Bagaimanapun Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Nurul Atiqah Mohamad Alias meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal ke atas tertuduh kerana kes itu mempunyai kepentingan awam dan sebagai pengajaran kepada masyarakat.-BERNAMA

