ARTIKEL

Tertuduh keluar dari Mahkamah Sesyen

Pembantu tadbir hadapi 16 pertuduhan rasuah dan pemalsuan dokumen

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seorang pembantu tadbir kerani pengoperasian sebuah agensi kerajaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana menggunakan jawatan untuk mendapatkan suapan serta mengemukakan dokumen palsu, kedua-duanya melibatkan anggaran sekitar RM189,200.

Tertuduh berusia 58 tahun itu mengaku tidak bersalah atas 16 pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Noor Hafizah Mohd Salim.

Mengikut 13 pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.

Sebagai penjawat awam, dia didakwa menggunakan jawatan untuk menerima suapan bayaran daripada sebuah syarikat kontraktor yang merupakan saudaranya.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.

Sementara itu, tiga lagi pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun yang sama.

Dia didakwa sengaja memberikan dokumen palsu sebagai tulen kepada ejen jurutera iaitu sebut harga syarikat kontraktor.

Seksyen terbabit memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di sebuah pejabat agensi kerajaan di sini antara Jun 2019 hingga Januari 2021.

Semasa sebutan kes, Timbalan Pendakwa Raya Yong Ann Nee menawarkan jaminan RM10,000 berserta dua penjamin tempatan bagi setiap pertuduhan yang dihadapi tertuduh.

Namun, Peguam Bela Francis Teron yang mewakili tertuduh memohon agar jaminan yang adil diberikan kerana tertuduh perlu menyara keluarga dan mempunyai pendapatan sebanyak RM4,900.

Selain itu, katanya, sekiranya jaminan yang tinggi dikenakan, ia berkemungkinan tidak dapat dipenuhi oleh tertuduh.

Mahkamah membenarkan jaminan tunai RM15,000 bagi semua pertuduhan dengan dua penjamin tempatan.

Tarikh sebutan semula bagi pengurusan kes ditetapkan pada 15 Disember depan.

Pendakwaan kes turut dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Jawa Milu dan Khairil Ammar Faisal.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU