KUCHING: Satu lagi pencapaian bersejarah dalam bidang perubatan Sarawak berjaya apabila pasukan pembedahan Hospital Miri berjaya melaksanakan pembedahan otak secara sedar atau awake brain surgery yang pertama di wilayah utara.
Prosedur berisiko tinggi itu dilaksanakan pada 11 Mac lalu oleh Pakar Bedah Saraf Perunding, Dr. Manvinder Singh Mangat dan Dr. Lim Swee San bersama pasukan multidisiplin yang terdiri daripada pakar bius saraf, pakar neurofisiologi serta kakitangan bilik bedah berpengalaman.
Pembedahan dikenali sebagai kraniotomi sedar turut melibatkan penggunaan teknik elektrokortikografi (ECoG) dan pemetaan fungsi otak bagi membolehkan tumor otak tahap rendah dibuang dengan selamat tanpa menjejaskan kawasan kritikal, khususnya pusat pertuturan pesakit.
Menurut Hospita Miri, pesakit yang sebelum ini mengalami sawan kekal sedar sepanjang prosedur dijalankan, sekali gus membolehkan pasukan perubatan memantau fungsi pertuturan secara masa nyata bagi memastikan tiada kerosakan pada fungsi penting otak.
“Prosedur ini berjaya dilaksanakan dengan baik dan pesakit dibenarkan pulang hanya dua hari selepas pembedahan tanpa sebarang gangguan pertuturan,” menurut kenyataan yang dikongsi di media sosial hospital berkenaan, semalam.
Pencapaian tersebut disifatkan sebagai satu lonjakan besar dalam penyampaian perkhidmatan bedah saraf di Sarawak, khususnya bagi penduduk di utara dan tengah negeri ini yang sebelum ini perlu mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak di Kuching atau ke Kuala Lumpur.
Menurut pihak hospital, kejayaan berkenaan membuktikan perkhidmatan perubatan bertaraf tinggi kini semakin mudah diakses di peringkat tempatan, sekali gus mengurangkan beban kewangan serta tekanan emosi kepada pesakit dan keluarga.
Perkembangan ini turut dibina atas asas kepakaran yang dibangunkan sejak penubuhan perkhidmatan bedah saraf di Hospital Miri pada 2018, yang ketika ini mengendalikan lebih 500 kes setahun melibatkan tumor otak, pembedahan tulang belakang dan vaskular.
Dalam masa sama, pihak hospital turut mengiktiraf sumbangan Jabatan Bedah Saraf Hospital Umum Sarawak yang melaksanakan lebih 15 prosedur kraniotomi sedar sejak 2017, sekali gus menjadi asas kepada kejayaan pelaksanaan prosedur tersebut di Miri.
Dengan pencapaian ini, Hospital Miri dilihat semakin menghampiri matlamat untuk muncul sebagai hab perkhidmatan bedah saraf lanjutan di utara Sarawak, sekali gus memastikan rakyat negeri ini tidak lagi perlu melakukan perjalanan jauh untuk mendapatkan rawatan pembedahan otak bertaraf dunia.


