ARTIKEL

BERCAKAP… Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof ketika ditemui pemberita, hari ini.

Pembentukan sahsiah benteng utama tangani ekstremisme

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pembentukan sahsiah dan akhlak yang kukuh berteraskan nilai murni perlu diutamakan sebagai benteng utama bagi membendung fahaman ekstremisme serta radikalisme dalam masyarakat, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof.

Beliau berkata, sebagai sebuah negara yang berbilang kaum, agama dan budaya, Malaysia tidak mampu membiarkan fahaman ekstrem atau radikal berkembang kerana ia berpotensi menggugat keamanan, kestabilan serta perpaduan yang sekian lama menjadi asas keharmonian negara.

BERAMAH MESRA… Datuk Amar Fadillah Yusof beramah mesra dengan peserta Seminar Kelestarian Pemikiran Islam Nusantara, Sarawak Maju Makmur 2026 di Pusat Acara Hikmah Exchange, di sini, hari ini.

“Kita mahu melahirkan masyarakat yang progresif dan sederhana. Sebab itu saya mencadangkan supaya aspek pendidikan, khususnya pembentukan sahsiah dan akhlak, diberi penekanan.

“Dalam konteks Islam, pembentukan sahsiah perlu berpaksikan al-Quran dan al-Sunnah bagi melahirkan insan yang berpegang kepada nilai kasih sayang, saling menghormati, tolong-menolong dan hidup dalam suasana harmoni,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menangguhkan Seminar Kelestarian Pemikiran Islam Nusantara, Sarawak Maju Makmur 2026 di Pusat Acara Hikmah Exchange, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay; Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha; Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sarawak, Hamdan Jaree; serta tetamu kehormat lain.

Selain itu, Fadillah berkata semua institusi termasuk keluarga, pendidikan dan masyarakat perlu memainkan peranan dalam membendung fahaman ekstremisme sebelum ia menular dengan lebih meluas.

“Kita mengetahui wujud kumpulan yang membawa fahaman ekstrem dan radikal. Jika tidak dibendung dari awal, ia boleh memberi kesan kepada masyarakat.

“Justeru, semua institusi perlu memainkan peranan memastikan masyarakat tidak terpengaruh dengan fahaman yang sempit serta bercanggah dengan nilai sebenar yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah,” katanya.

Mengulas cadangan mewujudkan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Fadillah berkata perkara itu telah diputuskan sebagai dasar kerajaan sebelum ini, namun kerajaan perlu terus memperkukuh kerangka perundangan sedia ada bagi menangani ancaman keselamatan.

Beliau mengakui Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) menyediakan mekanisme tertentu, namun pelaksanaannya mempunyai kekangan berbanding ISA, termasuk dalam menangani isu melibatkan 3R, iaitu agama, kaum dan institusi diraja.

“Namun kita perlu melihat isu ini secara menyeluruh bagi mengimbangi keperluan menjaga keselamatan dan keharmonian negara dengan pematuhan kepada piawaian serta norma antarabangsa.

“Sebab itu kita perlu mencari keseimbangan antara penguatkuasaan undang-undang dan persepsi masyarakat antarabangsa terhadap negara,” katanya.

Fadillah berkata, walaupun perundangan penting dalam menangani ancaman keselamatan, ia sepatutnya menjadi langkah terakhir selepas usaha membentuk masyarakat yang mempunyai nilai dan akhlak yang baik.

“Pada saya, yang lebih penting ialah pembentukan sahsiah. Undang-undang adalah jalan terakhir.

“Jika setiap individu mempunyai sahsiah yang baik, maka sifat radikal dan ekstrem dapat dielakkan. Apabila masyarakat hidup dengan nilai kasih sayang dan saling menghormati, keharmonian akan terus terpelihara,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Rakyat protes dasar berat sebelah

BANGKOK: Ratusan penunjuk perasaan berhimpun berhampiran Pusat Konvensyen Nasional Queen Sirikit (QSNCC) pada Khamis bagi membantah dasar Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia yang

Geran pemula bantu usahawan muda Sarawak

KUCHING: Usahawan belia di Sarawak berpeluang memohon geran sehingga RM15,000 menerusi Geran SYStartUP bagi membantu menampung kos permulaan dan pembangunan perniagaan masing-masing. Timbalan Menteri Belia,