ARTIKEL

Pembiayaan RM200,000 bantu kembangkan perniagaan kenderaan terpakai

Pembiayaan RM200,000 bantu kembangkan perniagaan kenderaan terpakai

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Syarikat kenderaan terpakai yang berpangkalan di Kuching, Ben Lee Automobile Sdn. Bhd. menerima pembiayaan RM200,000 menerusi Dana Pemangkin Penskalaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) kendalian SME Corp Malaysia bagi membantu mengembangkan operasi perniagaannya.

Di bawah skim berkenaan, perniagaan yang layak, terus mencatat prestasi baik serta mengekalkan rekod pembayaran yang baik berpeluang menerima rebat pembiayaan sehingga 30 peratus, tertakluk kepada penilaian SME Corp Malaysia.

Bagi Ben Lee Automobile, rebat itu boleh mencecah RM60,000 daripada jumlah pembiayaan RM200,000 yang diterima.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, sokongan kepada usahawan tidak seharusnya terhenti pada penyediaan pembiayaan semata-mata.

“Jika sesebuah perniagaan menunjukkan prestasi baik, terus berkembang dan mengekalkan rekod pembayaran yang baik, usaha tersebut juga wajar diberi ganjaran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, beliau mengadakan lawatan ke premis Ben Lee Automobile dan menyerahkan replika cek pembiayaan kepada pengarah syarikat, Lee Wai Yat, baru-baru ini.

Ditubuhkan pada 2023, Ben Lee Automobile menjalankan perniagaan menjual kenderaan terpakai tempatan dan import, dengan merekodkan jualan kira-kira RM14.89 juta pada 2025 serta kini menggaji 16 pekerja.

Menurut Steven Sim, banyak perniagaan tempatan, termasuk PKS di Sarawak, sebenarnya sudah mempunyai pelanggan dan pasaran masing-masing.

“Apa yang mereka perlukan ialah modal untuk mengambil langkah seterusnya dan mengembangkan perniagaan.”

“Di sinilah Kerajaan Persekutuan boleh memberikan dorongan tambahan kepada mereka,” ujarnya.

Pembiayaan itu dikenakan kadar 3.5 peratus setahun bagi tempoh lima tahun dan akan digunakan sebagai modal kerja syarikat.

Lee, yang merupakan bekas pegawai bank, menyifatkan kadar pembiayaan berkenaan amat berpatutan, selain mengakui proses permohonannya lebih mudah daripada yang dijangkakan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuching yang juga Setiausaha Politik kepada Sim, Dr Kelvin Yii berkata, lawatan kerja Steven Sim ke Sarawak membawa hampir RM5 juta dalam bentuk dana, pembiayaan dan pelbagai sokongan kepada negeri itu.

Menurutnya, jumlah berkenaan merangkumi RM2.43 juta bagi kemudahan Tamu Desa dan penjaja di Mas Gading, Petra Jaya dan Pending, kira-kira RM2.1 juta menerusi zakat perniagaan Bank Rakyat serta pembiayaan RM200,000 kepada Ben Lee Automobile.

Pengarah Negeri SME Corp Malaysia Sarawak, Julyskristin Poly turut hadir.

BERITA LAIN

Perkukuh daya tahan ekonomi

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 bertujuan memperkukuh daya tahan ekonomi Malaysia, menyokong perubahan industri dan meningkatkan pembangunan tenaga kerja dalam sektor sarung tangan getah, kata Persatuan

BERITA TERBARU