SELANGAU: Sistem pentadbiran pendidikan di Selangau dijangka lebih efisien menerusi pembinaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) baharu bernilai RM35 juta yang kini sedang dilaksanakan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Ir. Christopher Gira Sambang berkata, projek tersebut merupakan langkah penting bagi memenuhi keperluan pentadbiran pendidikan yang semakin berkembang di daerah berkenaan.
“Pembinaan pejabat baharu itu akan menyediakan kemudahan yang lebih moden, selesa dan lengkap bagi menyokong pelaksanaan tugas warga pendidikan di Selangau.
“Kewujudan pejabat baharu ini juga diyakini mampu mewujudkan suasana kerja yang lebih kondusif dan profesional kepada seluruh warga pendidikan dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab harian mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Nasih Tanah Projek Pembinaan Baharu Pejabat Pendidikan Daerah Selangau di sini, hari ini.
Menurutnya, sebelum ini operasi Pejabat Pendidikan Daerah Selangau dijalankan di premis rumah kedai yang disewa oleh kerajaan.
“Walaupun perkhidmatan pendidikan terus dilaksanakan dengan baik, kemudahan yang ada adalah terhad dan kurang sesuai untuk menampung keperluan pentadbiran yang semakin berkembang,” jelasnya.
Tambah beliau, pembinaan pejabat baharu itu bukan sahaja menyediakan ruang kerja yang lebih tersusun kepada kakitangan pendidikan, malah dijangka meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada sekolah, guru, pelajar serta masyarakat di daerah berkenaan.
“Ia merupakan satu langkah yang amat tepat dan signifikan kerana bukan sahaja menyediakan ruang kerja yang lebih teratur dan selesa, bahkan ia akan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada sekolah, guru, pelajar dan masyarakat di seluruh Daerah Selangau,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata pembinaan PPD Selangau merupakan sebahagian daripada agenda pembangunan pendidikan yang sedang giat dilaksanakan kerajaan di daerah tersebut.
“Antara projek pendidikan utama yang sedang dilaksanakan ialah pembinaan baharu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Selangau bernilai RM81 juta.
“Manakala, projek gantian baharu bagi asrama lelaki dan dewan makan serta naik taraf sistem air terawat di SMK Ulu Balingian turut dilaksanakan.
“Selain itu, kerajaan turut memberi perhatian terhadap usaha membina semula dan menaik taraf beberapa sekolah lain yang memerlukan kemudahan lebih baik termasuk SK Sungai Sepiring, SK Batu 36, SK Dijih dan SK Penghulu Imban,” katanya.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Selangau Edwin Banta, Pegawai Daerah Selangau Yalin Assan yang mewakili Residen Bahagian Sibu dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Selangau Joanes Tulang.



