BETONG: Pembinaan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak yang baharu dijangka dilaksanakan bermula tahun hadapan.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata perkara itu susulan pengumuman kelulusan pembinaannya dalam Belanjawan Persekutuan 2026.
“Kita bersyukur kerana dalam Belanjawan Persekutuan 2026 telah diumumkan pembinaan IPK Sarawak yang baharu.
“Insya-Allah perkara itu mungkin dilaksanakan tahun hadapan,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah (KPD) Betong, hari ini.
Beliau diminta mengulas perancangan menambah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan balai polis baharu menjelang Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang bermula tahun hadapan.

“Sudah semestinya kita ada perancangan untuk menambah IPD dan balai polis di Sarawak.
“Terutama beberapa IPD yang sering mengalami banjir. Bagaimanapun, kita akan mengkaji semula keperluan termasuk balai polis usang serta menaik taraf fasiliti dan bangunan,” jelasnya.
Zainal turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak atas bantuan berterusan, termasuk usaha mengecat dan membaiki bangunan lama.
Mengenai kekurangan aset di IPD, beliau mengakui PDRM Sarawak masih memerlukan pelbagai aset dan fasiliti baharu untuk meningkatkan kecekapan tugasan harian.
“Hari ini saya telah sampai ke IPD Betong, IPD keempat yang saya lawati sejak menerajui kepimpinan polis Sarawak.
“Saya sedang melihat keperluan aset yang perlu dimohon kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak.
“Selepas penilaian dilakukan, saya akan menyelaras semula keutamaan setiap 28 IPD di seluruh Sarawak, terutama yang memerlukan pertambahan aset disebabkan keadaan uzur atau tidak boleh digunakan,” katanya.
Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Jawatan KPD Betong menyaksikan Pemangku KPD Betong ASP Entali Jingan menyerahkan tugas kepada Pemangku DSP Wan Mohamad Ali Wan Malek.
Turut berlangsung serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) daripada Jessica Matthew kepada Darmawaty Mohd Najib, disaksikan Pengerusi Perkep Kontinjen Sarawak Datin Dr. Nitce Isa Medina Machmudi Isa.
Zainal turut menyampaikan Sumbangan Kasih Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada 15 asnaf dari kawasan sekitar Betong.


