ARTIKEL

Datuk Amar Fadillah Yusof bercakap kepada media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Insentif Pelajar Cemerlang RISE di SMK Sains Kuching Utara, di sini, hari ini.Foto Ramidi Subari

Pembinaan jalan bertingkat perlu kajian terperinci

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Keperluan untuk membina infrastruktur jalan raya bertingkat seperti laluan bawah tanah atau jejambat perlu diteliti secara terperinci terlebih dahulu sebelum sebarang perancangan dilaksanakan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, kesesakan lalu lintas sentiasa menjadi cabaran kepada bandar-bandar yang sedang membangun. Keadaan itu ditambah dengan pertambahan jumlah penduduk yang memerlukan penyelesaian jangka panjang menerusi kajian teknikal yang menyeluruh oleh pihak berkaitan.

Katanya, setiap cadangan pembangunan infrastruktur jalan perlu mengambil kira keadaan utiliti sedia ada yang boleh memberi kesan kepada pelaksanaan projek.

“Saya yakin Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) akan membuat kajian di kawasan Petra Jaya dan bandar-bandar lain. Cabarannya ialah peningkatan penduduk dan kenderaan, sedangkan pembangunan jalan mengambil masa,” katanya ketika ditemu bual media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Insentif Pelajar Cemerlang RISE di SMK Sains Kuching Utara, di sini, hari ini.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, dalam beberapa cadangan sebelum ini, termasuk di bulatan Emart Matang, kajian JKR mendapati pembinaan laluan bawah tanah tidak sesuai kerana terdapat banyak kemudahan utiliti bawah tanah seperti paip utama, kabel elektrik dan lain-lain yang menyukarkan proses pemindahan.

“Ini akan menjejaskan banyak utiliti. Oleh itu, reka bentuk teknikal baharu perlu dibuat oleh JKR kerana ia memerlukan kajian yang lebih terperinci,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa penggunaan bulatan masih relevan di beberapa lokasi kerana berfungsi memperlahankan aliran trafik, selain memberi nilai estetika melalui landskap bandar.

“Kalau kita buat jalan lurus, ia hanya akan memindahkan kesesakan ke kawasan lain. Bila satu tempat selesai, tempat lain pula akan sesak,” katanya.

Tambah beliau, bagi mengawal aliran trafik, pihak berkuasa tempatan bersama polis trafik turut menempatkan petugas pengawal lalu lintas di beberapa lokasi tertentu sebagai langkah sementara.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU