KUCHING: Kerja-kerja pembinaan Kompleks Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor) di Jalan Ong Tiang Swee di sini, kini telah mencapai kemajuan 70 peratus.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pembinaan kompleks yang menelan kos RM80 juta itu berjalan lancar dan dijangka siap pada tahun hadapan.
“Apabila siap pada tahun depan, semua agama yang berdaftar di bawah Unifor boleh menggunakan segala kemudahan dan fasiliti yang disediakan di bawah satu kompleks ini.
“Ia termasuk untuk menganjurkan aktiviti dan program kemasyarakatan bagi mengukuhkan lagi perpaduan dan keharmonian pelbagai kaum dan agama di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penubuhan Majlis Penasihat UNIFOR, di sini, hari ini.
Untuk rekod, kompleks itu mula dibina pada Julai 2022. Dijadualkan siap pada Julai tahun depan, ia merangkumi bangunan setinggi 10 tingkat dengan dewan persidangan pada tapak seluas tiga ekar.
Antara kegunaan am bagi kompleks tersebut ialah sebagai tempat untuk menjalankan aktiviti, pejabat, dewan persidangan serta menjadi sumber menjana pendapatan bagi Lembaga Amanah Kebajikan Unifor sebagai pemilik kompleks.

