KUCHING: Perancangan pembinaan Pusat Pengembangan Al-Quran Darul Hana (DHQc-MIS) bakal menjadi hab utama pengajian, penghafalan dan pemahaman al-Quran di Sarawak.
Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS), Datuk Misnu Taha berkata, pusat berkenaan turut menyokong pelaksanaan program Kelas Agama Dewasa (KAD) yang dirancang untuk diperluas ke seluruh negeri.
Sebelum ini katanya, Kerajaan Sarawak meluluskan pembinaan pusat tersebut dan lokasi telah dikenal pasti.
“Usaha ini mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam pembangunan modal insan berteraskan nilai Islam, walaupun umat Islam merupakan minoriti di negeri tersebut,” jelasnya pada Majlis Penangguhan Seminar Wanita Bijak Al-Quran di Dewan Majma di sini, hari ini.
Berhubung KAD, Misnu berkata, MIS bersetuju agar program ini dikembangkan, bukan sahaja di Kuching, tetapi di seluruh Sarawak.
“Apabila saya berkunjung ke kampung-kampung, saya dapati ramai masyarakat kita berminat dengan topik berkaitan jenazah, sembahyang dan al-Quran. Insya-Allah, program ini akan diperluas dan suatu hari nanti, majlis graduasi akan diadakan di sini bagi mereka yang berjaya menamatkan KAD.
“Saya akan berusaha agar KAD ini mendapat kerjasama sepenuhnya daripada JAKIM bagi membolehkan kita bekerjasama dengan Institut Kemahiran Islam Sarawak (IKMAS).
“Jika sijil yang dikeluarkan oleh IKMAS diiktiraf, ini akan menjadi satu pencapaian penting dalam perjuangan kita,” katanya.
Sebelum ini, beliau mencadangkan agar sijil berkenaan dinaik taraf ke tahap diploma iaitu peringkat separa profesional dengan menambah beberapa siri ujian serta mewujudkan silibus latihan industri (LI) untuk para pelajar.
Manakala berhubung DHQc-MIS pula, Misnu sebelum ini juga memaklumkan, pembinaan pusat berkenaan kini berada pada fasa perancangan, termasuk penyediaan reka bentuk bangunan serta perisian program yang akan digunakan.


