ARTIKEL

Abdul Karim (lima kiri) bergambar bersama Bapak Raden (lima kanan), Morshidi (tiga kiri) dan delegasi Museum Cycling Community Pontianak, Kalimantan Barat, pada majlis semalam. - Foto: UKAS

Pembinaan velodrom di Sarawak dalam perancangan, perkasakan sukan berbasikal

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerajaan Sarawak kini dalam perancangan untuk membina sebuah arena lumba basikal trek (velodrom) baharu, satu-satunya kemudahan sukan utama yang masih belum ada di wilayah ini.

Menurut Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, perancangan tersebut telah dibincangkan baru-baru ini dalam satu sesi taklimat bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dan seorang konsultan dari Jerman yang berpengalaman dalam pembangunan velodrom di seluruh dunia.

Abdul Karim berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Museum Cycling Community sempena Borneo Cross Border Cycling Tour 2025 di sebuah hotel terkemuka di Kuching semalam. – Foto: UKAS

Menurutnya, pembinaan velodrom akan memberi manfaat besar kepada atlet sukan berbasikal, khususnya dalam acara trek.

“Kita melihat bahawa velodrom adalah kemudahan sukan yang perlu dibangunkan di Sarawak. Jadi saya berharap projek ini dapat dimulakan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual media selepas menyempurnakan Majlis Makan Malam Bersama Museum Cycling Community sempena Borneo Cross Border Cycling Tour 2025 di sebuah hotel terkemuka di sini semalam.

Mengulas lanjut, Abdul Karim memberitahu, meskipun tidak pasti sama ada velodrom tersebut akan siap tepat pada masanya untuk Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) akan datang, namun Kerajaan Sarawak sudah memberi kelulusan untuk membangunkan kemudahan itu.

“Apa yang penting, Kerajaan Sarawak telah memberi kelulusan untuk membangunkan velodrom ini, yang akan memberi keceriaan kepada atlet sukan berbasikal di wilayah ini, khususnya dalam acara trek,” jelasnya.

Dalam ucapannya pada majlis berkenaan, Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan menjelaskan bahawa acara Borneo Cross Border Cycling Tour melibatkan lebih 60 peserta dari pelbagai daerah di Indonesia.

Ia menjadi satu platform bermakna untuk merapatkan lagi hubungan baik antara Malaysia dengan Indonesia.

Tambahnya, acara seumpamanya juga memberi peluang kepada peserta untuk merasai pengalaman berharga menjelajah keindahan Bumi Kenyalang yang kaya dengan tradisi dan budaya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Konsul Jeneral Republik Indonesia Kuching, Bapak Raden Sigit Witjaksono, Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Morshidi Fredrick, serta Ketua Delegasi Museum Cycling Community Pontianak, Kalimantan Barat, Profesor Madya Rizky Fauzan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU