SELANGAU: Pembukaan Lepapa Supermarket Selangau dan Roxy Hotel Selangau membuktikan perkembangan kawasan berkenaan sebagai pusat pertumbuhan ekonomi di kawasan luar bandar Sarawak.
ADUN Tamin, Christopher Gira Sambang berkata, pelaburan yang dilakukan oleh syarikat tempatan itu mencerminkan keyakinan pelabur dengan potensi besar yang dimiliki kawasan itu.

“Dahulu orang melihat Selangau sebagai kawasan persinggahan, namun hari ini kita mahu dunia melihat Selangau sebagai kawasan masa hadapan dan pusat pertumbuhan ekonomi luar bandar yang moden serta progresif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pembukaan rasmi Lepapa Supermarket Selangau dan Roxy Hotel Selangau, di sini, semalam.
Tambahnya, pembukaan kedua-dua premis berkenaan dijangka membawa pelbagai manfaat kepada masyarakat setempat termasuk membuka peluang pekerjaan, merancakkan aktiviti ekonomi, membantu usahawan kecil dan pembekal tempatan serta meningkatkan kemudahan kepada penduduk dan pengunjung.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan beberapa projek pembangunan utama yang sedang dan akan dilaksanakan di kawasan Selangau.
“Antaranya termasuk pembinaan Selangau Mini Sports Complex bernilai RM11.5 juta, pembinaan kuarters penjawat awam Kerajaan Sarawak bernilai RM48 juta, naik taraf Klinik Kesihatan Tepus bernilai RM7 juta serta Klinik Sekuau bernilai RM3 juta.
“Pembinaan Pejabat Pendidikan Daerah Selangau bernilai RM3 juta dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Selangau bernilai RM81 juta turut menjadi antara projek penting dalam memperkukuh pembangunan pendidikan di kawasan tersebut,” ujarnya.
Sementara itu, Christopher Gira turut memaklumkan, projek Jalan Ulu Mukah bernilai RM65 juta dan Jalan Ulu Oya bernilai RM200 juta yang kini dalam proses tender serta dijangka memulakan pembinaan pada hujung tahun ini.


