ARTIKEL

Pemergian Tun Dr Hasmah kehilangan amat dirasai

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pemergian Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali merupakan kehilangan yang amat dirasai bukan sahaja dalam kalangan keluarga dan insan terdekat, malah seluruh rakyat Malaysia yang mengenali beliau sebagai tokoh wanita yang lemah lembut, rendah hati, penyayang, serta dekat dengan masyarakat.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata Allahyarhamah turut mencurahkan bakti besar kepada negara sepanjang hayatnya, khususnya dalam bidang kesihatan, kebajikan wanita dan kanak-kanak, serta usaha kemasyarakatan.

“Keperibadian, jasa dan sumbangan beliau menjadi sebahagian daripada lembaran penting dalam sejarah negara yang akan terus dikenang,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Nanta turut merakamkan ucapan takziah kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, serta seluruh keluarga atas pemergian insan tersayang itu.

Sementara itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim, yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya menyifatkan Allahyarhamah sebagai tokoh wanita dan perintis dalam bidang perubatan yang amat disanjungi.

Katanya, kelembutan, keprihatinan dan jiwa keibuan Allahyarhamah dalam berbakti kepada rakyat serta negara akan sentiasa dihormati dan dikenang.

Mordi turut menyampaikan salam takziah kepada Tun Dr Mahathir dan seluruh ahli keluarga serta mendoakan mereka diberikan kekuatan, ketabahan dan ketenangan jiwa dalam menghadapi kehilangan berkenaan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU