Pemeriksa lori terlepas dari tali gantung

KUCHING: Seorang lelaki tempatan terlepas tali gantung setelah rayuannya terhadap hukuman itu diterima Mahkamah Rayuan semalam.

Kuorum hakim Mahkamah Rayuan diketuai Dato Mohamad Zabidin Mohd Diah, Datuk Ravinthran Paramaguru dan Dato Gunalan Muniandy sebulat suara membenarkan rayuan dipohon Regoanal Awing @ Rickynold Igai yang sekarang berusia 50 tahun.

Regoanal seorang pemeriksa lori sebelum ini dikenakan hukuman gantung sehingga mati setelah didapati bersalah mengedar dadah jenis Methamphetamin seberat 801. 4 gram pada 27 April 2017.

Dia didapati bersalah mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Bagaimanapun semalam mahkamah membenarkan permohonan rayuan dipohon melalui peguam mewakilinya, Fung Lee Fook.

Mahkamah memutuskan untuk mengurangkan hukuman berkenaan kepada 18 tahun penjara setelah memindahkan pertuduhan kepada Seksyen 39A(1) akta yang sama.

Suara Sarawak