KOTA SAMARAHAN: Pemikiran tokoh falsafah Islam, al-Farabi, yang menekankan kesatuan ilmu dan hikmah kenegaraan masih relevan dalam melahirkan graduan berdaya saing serta membantu universiti menangani cabaran global yang semakin kompleks menerusi pendekatan rentas disiplin.
Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Emeritus Datuk Seri Dr Osman Bakar, berkata konsep yang diperkenalkan al-Farabi bukan sahaja menggalakkan penguasaan pelbagai bidang ilmu, malah menekankan hubungan dan interaksi antara disiplin bagi menghasilkan penyelesaian yang lebih menyeluruh dalam pelbagai isu semasa.
Menurut beliau, al-Farabi yang hidup sekitar abad kesembilan dan kesepuluh merupakan antara sarjana Islam terulung yang menghasilkan lebih 100 karya dalam pelbagai bidang ilmu sehingga diiktiraf sebagai seorang polymath, iaitu ilmuwan yang menguasai pelbagai disiplin.
“Kalau menggunakan istilah hari ini, al-Farabi ialah seorang polymath. Beliau mempunyai pengetahuan dalam pelbagai bidang, bukan hanya satu disiplin. Pemikiran itu kini kembali diberi perhatian menerusi konsep hubungan dan interaksi antara disiplin ilmu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan syarahan bertajuk ‘Kesatuan Ilmu dan Hikmah Perlembagaan: Teori Al-Farabi’ di Auditorium PeTARY, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Osman berkata, al-Farabi turut dikenali sebagai tokoh yang banyak menyumbang kepada pemikiran falsafah politik dan kenegaraan, dengan menegaskan bahawa undang-undang perlu dipandu oleh falsafah serta hikmah bagi membentuk sebuah negara yang berkualiti, progresif dan maju.
Jelasnya, pemikiran ini masih signifikan untuk diterapkan dalam institusi pengajian tinggi bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja memiliki kepakaran dalam bidang masing-masing, malah mampu melihat sesuatu isu daripada pelbagai perspektif.

Mengulas peranan UNIMAS, beliau berpandangan universiti tersebut sudah berada pada landasan yang tepat dalam memperkukuh konsep kesatuan ilmu seperti yang diketengahkan al-Farabi, namun usaha berkenaan boleh dipertingkatkan lagi menerusi kerjasama yang lebih erat antara fakulti.
Sementara itu, Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dr Ahmad Hata Rasit berkata universiti berkenaan kini melalui proses transformasi daripada model universiti konvensional kepada universiti berteraskan pendekatan rentas disiplin bagi memenuhi keperluan masa depan.
Menurutnya, pendekatan ini membolehkan pensyarah, penyelidik dan pelajar daripada pelbagai bidang bekerjasama dalam penyelidikan, termasuk memperluas amalan penyeliaan bersama bagi pelajar pascasiswazah.


