KUCHING: Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk Wee Hong Seng menasihati orang ramai agar lebih bertanggungjawab dalam memastikan anjing peliharaan mereka mendapat suntikan antirabies.
Menurutnya, suntikan itu boleh didapati secara percuma melalui Program Vaksin Antirabies yang kerap diadakan.
“Program vaksin antirabies diadakan secara percuma. “Tiada bayaran dikenakan kepada pemilik anjing yang datang untuk mendapatkan suntikan vaksin ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Vaksin Antirabies di Dewan Masyarakat MBKS di sini, semalam.
Hong Seng menjelaskan, program itu diadakan untuk membantu mengelakkan anjing peliharaan dijangkiti virus rabies.
“Penyakit berjangkit rabies masih ada di sekitar kita.
“Jadi kerajaan akan terus membendung virus ini dengan mengadakan program seperti ini.
“Masyarakat harus memberikan kerjasama dengan kami untuk menghantar anjing peliharaan masing-masing untuk mendapatkan suntikan vaksin antirabies,” katanya.
Program vaksin antirabies jelasnya lagi, kerap diadakan bagi menjayakan misi kerajaan untuk mengurangkan penyakit rabies.
“Program ini tidak dikenakan sebarang bayaran… ia percuma,” jelasnya dan menambah, program itu turut diadakan di Miri dan Bintulu.
“Semua kemudahan sudah disediakan, jadi tidak ada alasan untuk tidak menghantar anjing peliharaan bagi mendapatkan suntikan ini.
“Jadilah orang yang bertanggungjawab dan beri kerjasama… kemudahan sudah disediakan, dan ia juga percuma,” ujarnya.