ARTIKEL

Gambar hiasan

Pemilik premis vape didenda RM3,000 taja kejohanan futsal

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SARATOK: Tindakan menaja acara sukan membawa padah apabila seorang pemilik premis vape dikenakan denda RM3,000 atau penjara selama tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Saratok semalam selepas didapati melanggar undang-undang berkaitan kawalan produk merokok.

Keputusan itu dibuat selepas tertuduh mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Intan Nurul Farena Zainal.

Kes berkenaan didakwa mengikut Seksyen 9(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024, dengan hukuman diperuntukkan di bawah Seksyen 9(3)(a)(i) akta sama.

Menurut jurucakap Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Saratok, kes itu bermula apabila jabatan berkenaan menerima maklumat risikan berhubung penajaan sebuah kejohanan sukan futsal yang dianjurkan di Kabong.

Siasatan lanjut mendapati pertandingan berkenaan, yang melibatkan penyertaan golongan belia, menerima sokongan daripada sebuah perniagaan vape, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai unsur promosi produk merokok secara tidak langsung kepada masyarakat.

“Hasil risikan yang dijalankan mengesahkan bahawa penajaan tersebut berpotensi menggalakkan penggunaan produk vape, sekali gus bercanggah dengan matlamat akta yang digubal bagi melindungi kesihatan awam.

“Kesalahan itu juga dikategorikan sebagai tidak boleh dikompaun di bawah peraturan sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam hujahan pendakwaan, Pegawai Pendakwa Seksyen Inspektorat dan Perundangan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak menegaskan bahawa perbuatan menaja atau terlibat dalam penganjuran aktiviti yang boleh mempromosikan produk merokok merupakan satu kesalahan serius, lebih-lebih lagi apabila melibatkan golongan belia dan remaja.

Pendakwaan turut menekankan bahawa tindakan tertuduh mencerminkan kegagalan mematuhi undang-undang yang telah diwartakan dan diketahui umum, selain berisiko menjejaskan usaha kerajaan membendung pengaruh negatif produk merokok dalam kalangan masyarakat.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau penjara tiga bulan sebagai peringatan tegas bukan sahaja kepada tertuduh, malah kepada semua peniaga agar tidak mengambil mudah peruntukan undang-undang demi menjaga kepentingan kesihatan awam.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU