ARTIKEL

Wilfred dan Kho bersama pemilik rumah Taman Kalien ketika sesi tandatangan MOT

Pemilik rumah Taman Kalien dapat geran tanah secara berperingkat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Selepas bertahun-tahun menunggu tanpa kepastian, pemilik rumah di Taman Kalien akhirnya boleh menarik nafas lega apabila Jabatan Tanah dan Survei Sarawak mula mengeluarkan geran tanah individu mereka secara berperingkat, bermula dengan Fasa 4.

Momentum positif ini disambut dengan majlis menandatangani Memorandum Pindah Milik (MOT) oleh pemilik rumah di sebuah firma guaman, disaksikan oleh ADUN Kota Sentosa, Wilfred Yap, dan Setiausaha Politik Premier Sarawak, Kho Teck Wan.

Kho, yang terlibat secara langsung dalam mempercepatkan penyelesaian isu ini, berkata usaha bersepadu antara pihak pemaju, kerajaan negeri, dan Jabatan Tanah dan Survei telah membuahkan hasil setelah sekian lama tertangguh.

Menurut Kho, pihak pemaju telah menyusun pelan pembayaran premium tanah secara sistematik bagi memastikan setiap fasa menerima geran mereka tanpa sebarang kekangan kewangan.

“Saya faham bahawa pemilik rumah di Fasa 5, 6, 2, dan 3 tidak sabar menantikan giliran mereka, tetapi saya ingin memberi jaminan bahawa proses ini sedang berjalan dan akan diselesaikan secara berperingkat.

“Bagi pemilik rumah di Fasa 4, mereka akan dihubungi oleh firma guaman bermula minggu hadapan untuk menandatangani MOT,” katanya.

Jelasnya lagi, setelah urusan perundangan selesai dan duti setem dibayar, geran tanah mereka akan disimpan di bank sehingga pinjaman perumahan mereka dilunaskan.

Dalam pada itu, beliau turut memuji seorang pemaju hartanah yang hanya mahu dikenali sebagai Miss Yong, yang sanggup memikul tanggungjawab besar bagi memastikan pemilik rumah di Taman Kalien mendapat geran tanah individu mereka.

“Beliau tidak hanya berusaha mendapatkan kelulusan daripada Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, tetapi juga menyusun pelan pembayaran premium secara strategik supaya semua pemilik rumah di setiap fasa dapat menerima geran tanah mereka tanpa tertangguh,” katanya.

Sementara itu, Kho turut menempelak dakwaan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Stampin merangkap ADUN Padungan, YB Chong Chieng Jen, dan pembantunya, Michael Kong, yang sebelum ini mendakwa kerajaan negeri gagal membantu penduduk Taman Kalien dalam mendapatkan geran tanah.

“Sepanjang tempoh lebih setahun ini, tiada sebarang aduan rasmi yang dikemukakan oleh DAP kepada kementerian berkaitan, malah pemaju sendiri tidak pernah dihubungi oleh sesiapa dari DAP.

“Ini membuktikan bahawa kenyataan mereka hanyalah retorik politik tanpa sebarang usaha nyata untuk membantu rakyat,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa SUPP akan terus berusaha bersama pemaju dan Jabatan Tanah dan Survei Sarawak untuk memastikan setiap pemilik rumah Taman Kalien menerima hak milik tanah mereka seperti yang dijanjikan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU