Pemilik Tanah Rantau Panjang bincang pampasan Tanah

SKUAD Kuching FA bakal tampil lebih tajam di bahagian serangan sebaik saingan Liga M3 2019 disambung semula Sabtu ini dengan kehadiran bekas penyerang Sarawak, Sufizal Ismail.

Demikian pengakuan ketua jurulatih Kuching FA, Ideris Untong yang mengalu-alukan kemunculan semula penyerang yang berasal dari Kampung Petanak Mukah itu.

Selain Sufizal, tiga lagi pemain baharu yang akan mewarnai skuad Kuching FA ialah Ismail Bujang, Jimmy Raymond dan bekas pemain Piala Belia Sarawak, Mohd Irfan Syahmi Irwandy.

“Kehadiran empat pemain baharu bagus untuk pasukan… lebih-lebih lagi untuk bahagian serangan,” kata Ideris kepada Suara Sarawak.

Sebelum ini, Kuching FA kelihatan terlalu bergantung kepada Joseph Kallang Tie yang telah pun menyumbat tujuh gol setelah melalui tujuh perlawanan.

Jadi, dengan kehadiran Sufizal, jentera serangan Kuching FA bakal lebih mantap. Menyertai skuad Kuching FA bukanlah asing bagi Sufizal kerana pernah bersama-sama mereka pada 2017 dan 2018.

Sufizal merupakan penyerang tempatan yang ditambat oleh Robert Alberts (bekas jurulatih Sarawak) pada 2010 selepas beraksi cemerlang dalam Kejohanan Piala Sarawak.

Alberts pernah menjelaskan: “Sufizal memiliki ciri-ciri penyerang kerana mempunyai keberanian, sepakan yang kuat dan ada naluri ‘penjaring’.”

Malah Alberts, menganggap Sufizal antara penyerang tempatan yang berpotensi besar untuk ke peringkat yang lebih tinggi.

Sementara itu, Kuching FA yang menguasai carta Liga M3 ketika ini setelah menang enam kali dan seri sekali perlu bekerja keras sebaik saingan disambung semula.

Ini kerana beberapa pasukan telah mengambil pemain baharu.

Kelantan United, misalnya, menambat bekas bintang Malaysia, Mohd Badhri Mohd Razi atau lebih dikenali sebagai Piya bersama-sama enam lagi pemain.

Kuching FA akan menentang pasukan SAMB FC dalam aksi kelapan Liga M3 di Stadium Sarawak Sabtu ini (8.15 malam).

Suara Sarawak