KUCHING: Pemimpin masyarakat termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) diseru memainkan peranan aktif mengenal pasti keperluan penduduk serta merancang program bagi meningkatkan kesejahteraan komuniti.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof berkata pemimpin akar umbi perlu memahami latar belakang penduduk di kawasan masing-masing, termasuk mereka yang berkemampuan atau berdepan masalah kewangan dan kesihatan yang memerlukan bantuan.
Menurutnya, maklumat tersebut penting supaya data dapat dikongsi dan bentuk bantuan yang sesuai dapat dirancang bagi membantu golongan yang memerlukan.
“Pemimpin masyarakat juga perlu mengenal pasti program untuk meningkatkan bukan sahaja prasarana tetapi juga kegiatan sosioekonomi kerana kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan semata-mata,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri kepada golongan asnaf anjuran Lembaga Amanah Kebajikan Muslim Kampung Gita Matang di Dewan Serbaguna Kampung Pinang Jawa di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Fadillah turut menyempurnakan simbolik penyerahan sumbangan kepada wakil penerima dengan jumlah keseluruhan 345 penerima dari beberapa kampung dan taman perumahan di sekitar kawasan tersebut.


