KUCHING: Pemergian Allahyarham Datuk Kamil Misuari menyentuh hati banyak pihak termasuk pemimpin tertinggi negara yang menzahirkan simpati dan doa buat Datuk Sri Nancy Shukri serta keluarga dalam menghadapi saat penuh kesedihan ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama-sama isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail antara yang terawal menyampaikan ucapan takziah susulan pemergian Allahyarham pada 6.38 petang semalam.
Menerusi satu hantaran di media sosial, pasangan itu mendoakan agar Nancy dan seluruh ahli keluarga diberikan kekuatan serta ketabahan untuk menghadapi kehilangan insan tersayang.
“Kami mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampuni segala dosa, diterima seluruh amal kebajikan dan dikurniakan tempat yang istimewa di sisi-Nya,” menurut hantaran itu lagi.
Ucapan simpati turut dizahirkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyifatkan kehilangan pasangan hidup sebagai satu ujian yang amat berat untuk ditempuhi.
Menurut beliau, pemergian insan yang menjadi teman setia dan sahabat seperjalanan sudah pasti meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga yang ditinggalkan.
Beliau turut mendoakan agar Nancy serta seluruh ahli keluarga dikurniakan kekuatan, ketenangan dan kesabaran dalam menghadapi saat yang penuh kesedihan.
Allahyarham Datuk Kamil sebelum ini menerima rawatan di Hospital Ampang selepas dimasukkan ke pusat perubatan berkenaan sejak Jumaat lalu.
Keadaan kesihatannya dilaporkan semakin merosot pada tengah hari semalam sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir pada sebelah petang.
Jenazah Allahyarham kemudiannya diuruskan di Kuala Lumpur sebelum dibawa pulang ke Sarawak untuk penghormatan terakhir dan urusan pengebumian hari ini.



