ARTIKEL

TAHAN…Lelaki berkenaan ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian haram semalam.

Pemuda 20-an Tidak Sempat Kaya Hasil Judi Haram

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTANGOR: Seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an ditahan polis dalam serbuan Op Dadu di sini semalam kerana disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian loteri awam haram.

Ketua Polis Daerah Meradong, DSP Tansli Mering berkata, operasi tersebut dijalankan oleh sepasukan anggota di sebuah kawasan tumpuan aktiviti perjudian di bandar ini sekitar jam 10.45 pagi.

“Suspek ditahan selepas pemeriksaan ke atas tubuhnya menemui beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk menjalankan aktiviti perjudian tersebut.

“Antara barang yang dirampas termasuklah sekeping keratan kertas bercetak angka loteri awam haram dan sejumlah wang tunai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tansli menjelaskan kesemua barang rampasan dibawa ke Balai Polis Bintangor untuk tindakan lanjut manakala siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian atau individu lain yang mungkin terlibat.

Beliau berkata, suspek kini disiasat di bawah Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Aktiviti perjudian walaupun berskala kecil adalah menyalahi undang-undang dan boleh memberi kesan negatif kepada masyarakat termasuk masalah sosial serta ekonomi.

“Orang ramai diminta supaya tidak terlibat dengan perjudian dan aktiviti jenayah lain yang boleh menjejaskan keselamatan awam.

“Selain itu masyarakat digalakkan untuk terus memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah melalui saluran rasmi,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU