ARTIKEL

Pemuda PBB Sarawak gesa hormati semangat MA63

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

    KUCHING: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak tampil tegas menegur kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, yang mendakwa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak mentadbir hal ehwal minyak dan gas di Sarawak.

    Menurut Pemuda PBB Sarawak, kenyataan tersebut mencerminkan tafsiran yang sempit serta terlalu literal terhadap MA63, sekali gus mengabaikan konteks sejarah, tujuan asal serta kepentingan perlembagaan perjanjian yang menjadi asas pembentukan Malaysia.

    “MA63 bukan sekadar dokumen undang-undang biasa. Ia adalah perjanjian pengasas negara yang menyatukan Sarawak sebagai rakan kongsi setara dalam Persekutuan Malaysia. Hak Sarawak tidak boleh ditafsir secara selektif apatah lagi diketepikan,” tegas kenyataan Pemuda PBB Sarawak hari ini.

    Pemuda PBB Sarawak menegaskan bahawa ketiadaan peruntukan khusus mengenai minyak dan gas dalam MA63 bukan alasan untuk mengabaikan undang-undang negeri Sarawak dan hak perlembagaannya ke atas tanah serta sumber asli.

    Menurut kenyataan itu, Ordinan Perlombongan Minyak Sarawak 1958 (Oil Mining Ordinance – OMO 1958) masih berkuat kuasa sepenuhnya dan tidak pernah dimansuhkan oleh Dewan Undangan Negeri Sarawak. Ordinan yang digubal sebelum pembentukan Malaysia itu terus menjadi asas kawal selia aktiviti minyak dan gas di Sarawak serta dilindungi oleh Perlembagaan.

    “Sebarang cubaan menafsir MA63 secara sempit adalah satu tindakan yang bercanggah dengan semangat Persekutuan dan berpotensi menjejaskan hubungan Persekutuan–Negeri,” kata Pemuda PBB.

    Sehubungan itu, Pemuda PBB Sarawak menuntut penjelasan yang jelas dan berterus terang daripada Kerajaan Persekutuan bagi menjawab persoalan yang menjadi kebimbangan rakyat Sarawak.

    Antaranya, sama ada Putrajaya telah memberikan persetujuan atau sokongan rasmi terhadap tindakan undang-undang yang difailkan oleh PETRONAS terhadap Kerajaan Sarawak.

    Pemuda PBB Sarawak turut mempersoalkan keperluan tindakan mahkamah berkenaan memandangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah mengiktiraf hak Sarawak serta peranan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) sebagai pengagregat gas negeri.

    “Jika pengiktirafan itu telah diberikan oleh Perdana Menteri sendiri, mengapakah tindakan mahkamah masih diteruskan? Apakah suara dan keputusan Perdana Menteri tidak diberi keutamaan?” tegas kenyataan itu.

    Selain itu, Pemuda PBB Sarawak menegaskan bahawa penyelesaian melalui rundingan, libat urus berterusan serta konsultasi mesti menjadi pendekatan utama dalam menangani sebarang pertikaian berkaitan hak minyak dan gas Sarawak, bukannya melalui tindakan undang-undang yang hanya akan meruncingkan keadaan.

    Dalam pada itu, Pemuda PBB Sarawak menegaskan pendirian untuk terus berdiri teguh dan sehaluan bersama Yang Amat Berhormat Premier Sarawak dalam mempertahankan hak, kepentingan dan kedaulatan Sarawak selaras dengan semangat MA63 dan Perlembagaan Persekutuan.

    BERITA LAIN

    BERITA TERBARU