BAU: Seorang pemuda berusia 22 tahun mengalami kerugian hampir RM27,000 selepas terpedaya dengan sindiket pinjaman wang tidak berlesen yang beroperasi melalui platform dalam talian di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A. Rahman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 5 Februari lalu kira-kira pukul 4.26 petang di Balai Polis Bau.
“Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, mangsa yang bekerja sendiri mendakwa kejadian bermula pada awal Januari lalu apabila melayari sebuah laman sesawang yang menawarkan peluang pekerjaan secara dalam talian.
Tambahnya, mangsa kemudiannya dihubungi individu yang memperkenalkan diri sebagai ejen dan dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp.
“Mangsa diajar melakukan tugasan berupa tempahan barangan secara atas talian dan diminta menghantar bukti tempahan.
Pada peringkat awal katanya, mangsa menerima bayaran kecil, sekali gus menimbulkan kepercayaan dengan tawaran tersebut.
Bagaimanapun kata Mohd Haide, situasi berubah apabila mangsa diminta membuat bayaran sehingga RM5,000 bagi meneruskan tugasan.
“Disebabkan tidak mempunyai wang, mangsa membuat carian di Google dan seterusnya memohon pinjaman peribadi secara dalam talian.
“Siasatan mendapati, antara 17 Januari hingga 1 Februari 2026, mangsa membuat sebanyak 18 pinjaman peribadi berjumlah RM69,600.
“Namun, mangsa hanya menerima RM3,680, manakala jumlah bayaran yang telah dibuat mencecah RM30,577 ke dalam 13 akaun bank berbeza.
“Meskipun bayaran yang dibuat melebihi jumlah wang diterima, mangsa masih dihubungi dan diganggu oleh pihak pemberi pinjaman untuk membuat bayaran tambahan,” katanya.
Kata beliau, semakan awal mendapati beberapa akaun bank yang terlibat mempunyai rekod berkaitan kes penipuan, manakala nombor telefon yang digunakan oleh suspek tidak mempunyai sebarang rekod dalam pangkalan data polis.
Mangsa katanya turut memaklumkan tidak mengetahui peranan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) sebelum ini dan dinasihatkan untuk menghubungi talian 997 bagi mendapatkan bantuan segera.
“Polis menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan tawaran pekerjaan dan pinjaman wang secara dalam talian serta memastikan urusan kewangan hanya dilakukan melalui institusi yang sah dan berlesen,” katanya.

