KUCHING: Seorang penagih dadah dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini, kerana mencederakan bapa mertuanya berusia 77 tahun dengan menolak ke arah pintu utama rumah.
Ia berikutan, tertuduh berang ditegur bapa mertuanya kerana dia enggan bekerja serta sering meminta wang dari isterinya.
Junli Nosey, 51, mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326A Kanun yang sama.
Mengikut pertuduhan, dia melakukan kesalahan itu di rumah mereka di Taman Desa Wira, sekitar jam 8.30 malam, 3 Februari lepas.
Majistret Mason Jaro Lenya Barayan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara berkuat kuasa hari ini.
Berdasarkan fakta kes, semasa kejadian, pengadu merupakan isteri tertuduh berusia 46 tahun telah bertengkar mulut dengan suaminya kerana enggan memberikan wang berjumlah RM50.
Mangsa dan abang iparnya menegur tertuduh yang sering meminta wang daripada pengadu serta enggan bekerja.
Tertuduh terus marah dan cuba masuk ke dalam rumah tetapi dihalang oleh abang iparnya serta berlaku pergelutan antara mereka.
Mangsa kemudian hendak meleraikan pergaduhan itu tetapi ditolak oleh tertuduh ke arah pintu utama sehingga tangan terkena bucu pintu dan mengalami luka.
Apabila melihat bapa mertuanya mengalami kecederaan, tertuduh kemudian keluar dari rumah melarikan diri.
Laporan dibuat oleh pengadu untuk tindakan lanjut seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh pada 5 Februari lepas.
Hasil siasatan mendedahkan tertuduh telah melakukan kesalahan tersebut selain laporan perubatan mengesahkan mangsa mengalami kecederaan luka di pergelangan tangan kanan akibat daripada kejadian itu.
Sementara itu, di mahkamah yang sama, tertuduh turut dijatuhi hukuman denda RM2,000 atau empat bulan penjara atas kesalahan terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (1) Akta yang sama.
Mason Jaro juga memerintahkan tertuduh di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas menjalani hukuman atau membayar denda.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.




